Saksi diminta tandatangan akuan bersumpah mengenai bil kad kredit Ahmad Zahid [ 30m ago ]

Cheng Hoe idam kemenangan ke atas Indonesia

Tarikh kemaskini: 18/11/2019
KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Rentetan kejayaan yang dilakar skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan sebelum ini, jelas menaikkan semangat pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang memburu keputusan positif ke atas Indonesia pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengakui kemenangan ke atas skuad Garuda bakal menjadi penamat paling bermakna untuk dirinya pada musim ini, namun tetap berwaspada dengan ancaman yang bakal ditampilkan pasukan lawan susulan empat kekalahan berturut-turut yang dialami pada kempen kelayakan pada kali ini.

"Perlawanan esok merupakan perlawanan terakhir kami pada tahun ini, dan kami mahu mendapatkan keputusan positif.Walaupun pernah menewaskan Indonesia, 3-2 pada aksi sebelum ini (di tempat lawan), perlawanan malam esok adalah berbeza kerana Indonesia dibarisi beberapa muka baharu serta pengendali baharu,”katanya pada sidang media pra-perlawanan berkenaan di sini, hari ini.

Sebagai rekod, Malaysia mengejutkan pasukan ranking ke-116 dunia, Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan pada 9 Nov lalu, sebelum menumbangkan Thailand 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, selang lima hari kemudian.

Dalam pada itu, Cheng Hoe menyifatkan kebanjiran penyokong tempatan yang dijangka memenuhi venue berkenaan malam esok, bakal memberi tonik tambahan kepada barisan pemain dalam menampilkan aksi terbaik di tempat sendiri setelah menumpaskan Thailand pada pusingan kelayakan di venue yang sama.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan dua pemain tonggak iaitu penyerang, Muhammad Syafiq Ahmad dan pertahanan kanan, Matthew Davies yang terlepas aksi berdepan Thailand, Cheng Hoe yakin barisan pemain sedia ada mampu menggalas tugas yang bakal dipikul mereka.

Muhammad Syafiq dan Matthew digantung satu perlawanan susulan dua kad kuning yang dikutip pada dua aksi pusingan kelayakan menentang Vietnam dan Thailand, sebelum ini.

Berkongsi pandangan sama adalah pertahanan tengah skuad kebangsaan, Shahrul Mohd Saad yang mendedahkan rakan sepasukan di benteng pertahanan sudah mula mendapat keserasian pada aksi berdepan Thailand, dan yakin keserasian berkenaan mampu dijelmakan sekali lagi apabila mereka turun berdepan Indonesia, esok.
Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Tan Cheng Hoe (kiri) bercakap ketika sidang media menjelang Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 bertemu Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Pasukan Harimau Malaya akan menentang Indonesia esok. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Walaupun kita berjaya mendapatkan gol dalam beberapa perlawanan sebelum ini, namun apa yang saya maklumkan kepada rakan sepasukan untuk elakkan (gawang) pasukan kita daripada dibolosi.Saya harap pada perlawanan esok, bukan sahaja barisan pertahanan, tetapi semua pemain supaya lebih fokus,”jelas kapten pasukan Perak itu.

Malaysia kini menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan kutipan enam mata, manakala Indonesia gagal meraih sebarang mata selepas empat perlawanan.

-- BERNAMA







       Berita Utama Terdahulu