Kira-kira 5,000 orang termasuk dari luar sertai Ice Watch's Light Up The Day Run 2019 [ 27m ago ]

Pihak pendakwaan akan buktikan Ahmad Zahid seleweng RM31 juta untuk kepentingan peribadi

Tarikh kemaskini: 18/11/2019
KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah), yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi hadir untuk perbicaraan kes itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Pada 19 Oktober dan 14 Disember tahun lepas serta 20 Februari lepas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah terhadap keseluruhan 47 pertuduhan merangkumi 12 dakwaan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 lagi berhubung pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 47 pertuduhan jenayah akan membuktikan bekas timbalan perdana menteri itu telah menyelewengkan RM31 juta dana Yayasan Akalbudi dan bahawa tiada satu sen pun daripada wang itu telah digunakan untuk manfaat golongan miskin.

Dalam kenyataan pembukaan, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan juga akan membuktikan bahawa tertuduh telah menerima rasuah sebanyak RM17 juta dan RM4.25 juta lagi suapan dan juga telah menerima hasil daripada kegiatan haram berjumlah RM65 juta.

Raja Rozela berkata wang sebanyak RM31 juta itu telah diamanahkan kepada tertuduh atas kapasiti beliau sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu.

Katanya pihak pendakwaan akan membuka kesnya dengan pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), untuk membuktikan tertuduh telah menyelewengkan dana bernilai kira-kira RM31 juta milik Yayasan Akalbudi, sebuah pertubuhan amal diperbadankan yang ditubuhkan untuk membantu golongan miskin dan memerlukan.

“Jejak aliran wang yang dikemukakan di mahkamah akan mendedahkan tiada satu sen pun daripada RM31 juta itu telah digunakan untuk manfaat golongan miskin.

“Sebaliknya jejak aliran wang itu akan menunjukkan sejumlah besar amaun telah digunakan, antara lain, untuk membayar bil kad kredit peribadi, dan untuk membeli polisi insurans kenderaan bermotor dan cukai jalan bagi kenderaan milik persendirian,” katanya pada hari pertama perbicaraan kes Ahmad Zahid di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Raja Rozela memberitahu mahkamah, sekurang-kurangnya 20 saksi akan dipanggil untuk membuktikan pertuduhan CBT itu dengan disokong keterangan dokumen dan pihak pendakwaan juga akan bergantung pada andaian mengikut Seksyen 409B Kanun Keseksaan.

Bgai pertuduhan rasuah, Raja Rozela berkata antara 2016 dan 2018, tertuduh ialah seorang pegawai badan awam yang memegang jawatan menteri di Kementerian Dalam Negeri.

“Sepanjang beliau berkhidmat, tertuduh didakwa menerima RM17 juta sebagai ganjaran bagi pemberian tiga kontrak penting kepada beberapa syarikat. Kontrak berkenaan telah dimeterai dengan Kementerian Dalam Negeri pada waktu itu. Pihak pendakwaan akan membentangkan keterangan bahawa tertuduh memainkan peranan penting dalam pemberian tiga kontrak itu.

“Pada atau kira-kira pada waktu yang sama, tertuduh turut menggunakan kedudukannya sebagai menteri apabila beliau didakwa menerima sebanyak RM4.25 juta lagi daripada seorang individu,” katanya.

TPR berkata pembayaran itu diterima sebagai suapan untuk mendorong tertuduh membantu mendapatkan projek MyEG yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Bagi pertuduhan itu, pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 15 saksi, dan akan bergantung pada andaian statutori di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, kata TPR.

Beliau selanjutnya berkata pertuduhan pengubah wang haram akan dibuktikan dengan menunjukkan bahawa tertuduh telah menerima beberapa cek bernilai kira-kira RM65 juta daripada individu yang dikenali dan tidak dikenali beliau.

“Bukti selanjutnya akan menunjukkan cek berkenaan telah dihantar atau menyebabkan ia dihantar kepada seorang peguam, bernama Encik Muralidharan daripada Tetuan Lewis & Co, yang akan mendepositkan cek berkenaan ke dalam Akaun Pelanggan firma itu.

“Sejumlah besar wang itu seterusnya digunakan untuk dimasukkan sebagai deposit tetap di bawah nama firma itu. Dua unit banglo bernilai RM5.9 juta turut dibeli dengan wang yang diterima,” katanya.

TPR menegaskan setiap urusan itu dilakukan dengan pengetahuan tertuduh.

Beliau berkata keterangan saksi dan keterangan dokumen akan dikemukakan untuk membuktikan bahawa tertuduh tahu dan ada sebab untuk mempercayai bahawa jutaan ringgit yang diterimanya adalah hasil daripada aktiviti haram.

“Dalam membuktikan setiap pertuduhan, pihak pendakwaan akan bergantung pada keterangan secara langsung, keadaan dan beberapa keping dokumen. Berdasarkan keterangan yang akan dikemukakan, kami akan meminta mahkamah untuk mendapati bahawa pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie melangkaui keraguan munasabah. Kami akan memenuhi keperluan,” katanya.

Perbicaraan akan bersambung pada 2.30 petang dengan pihak pendakwaan akan memanggil saksi pertama. Empat saksi dijangka memberi keterangan hari ini.

Raja Rozela dibantu TPR Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Gan Peng Kun, Lee Keng Fatt, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin dan Mohd Afif Ali, manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik mengetuai pasukan pembelaan.

Peguam lain dalam pasukan itu ialah Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Hamidi Md Noh, Datuk Rosal Azimin dan Haziq Dhiyauddin Razali

Pada 19 Okt dan 14 Dis, 2018, serta 20 Feb tahun ini, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap sejumlah 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi CBT, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu