Seramai 94 pegawai pemantau Kelantan untuk kesan peniaga ingkar [ 6m ago ]

Peruntukan RM86,000 disalur kepada balai bomba dan penyelamat, persatuan bomba sukarela

Tarikh kemaskini: 17/11/2019
Steven Sim (gambar fail)
BUKIT MERTAJAM, 17 Nov -- Peruntukan sebanyak RM86,000 oleh pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam telah disalurkan kepada balai bomba dan penyelamat serta persatuan bomba sukarela di kawasan Bukit Mertajam tahun ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong berkata penyaluran peruntukan itu merupakan komitmen beliau sebagai wakil rakyat kawasan itu dalam usaha menjadikan Bukit Mertajam sebuah bandar yang selamat kepada semua pihak.

"Dana yang disalurkan termasuk RM20,000 untuk kerja penyelenggaraan dan membaiki pili bomba yang rosak serta RM8,000, masing-masing disalurkan kepada Balai Bomba Bandar Perda dan Balai Bomba Bukit Mertajam.

“Sebanyak RM50,000 pula ialah untuk Persatuan Bomba Sukarelawan cawangan Berapit untuk membeli sebuah trak air bagi kerja memadamkan kebakaran," katanya kepada pemberitab di sini, hari ini.

Terdahulu, Sim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menghadiri program Kempen Keselamatan Kebakaran anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam dan pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan.

Sim berkata program itu bertujuan untuk menyebarkan kesedaran tentang keselamatan kebakaran dan memberi peluang kepada orang awam untuk berinteraksi dengan jabatan-jabatan kerajaan.

Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan 14,000 anggota bomba dan ini terbukti menerusi pemberian elaun khas RM200 sebulan kepada semua anggota bomba seluruh negara dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada Oktober lepas, katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu