KUALA TERENGGANU, 17 Nov -- Bekas pemain sayap Selangor, Mohd Faiz Nasir sah menjadi milik Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2020.
Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan media oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini.
Mohd Faiz, 28, anak kelahiran Kelantan pernah menyarung jersi TFC pada 2018 di bawah kendalian ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim sebelum berhijrah ke Selangor musim lepas.
"Majlis menandatangani kontrak selama setahun antara Mohd Faiz dan PBSNT telah berlangsung sebentar tadi.
"Kehadiran Mohd Faiz diharap dapat memantapkan lagi skuad penyu pada musim depan di bawah kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain," demikian menurut kenyataan tersebut.
Selain Mohd Faiz, PBSNT sebelum ini turut mengumumkan kemasukan dua tonggak baharu iaitu bekas kapten pasukan Perak, Mohamad Nasir Basharudin dan bekas bek kiri Felda United, Arif Fadzillah bagi mengisi slot pemain tempatan.
Sementara itu, Nafuzi berkata kehadiran Mohd Faiz diibaratkan seperti sirih pulang ke gagang dan amat dinanti-nantikan seluruh peminat bola sepak Terengganu.
"Seperti yang kita maklum, Mohd Faiz pernah bersama TFC dan membantu pasukan merebut gelaran naib juara Piala Malaysia pada 2018 selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam 'pertempuran' paling sengit.
"Walaupun bertubuh kecil, Mohd Faiz memiliki kelebihan yang tersendiri dan saya harap kehadirannya akan memberi impak kepada pasukan musim depan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial