AM

Bot nelayan langgar syarat lesen ditahan, 500kg ikan dirampas

17/11/2019 12:52 PM

GEORGE TOWN, 17 Nov -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan Kelas B1 di kedudukan 5.6 batu nautika tenggara Pulau Kendi, dekat sini kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di bawah lapan batu nautika dari pantai, semalam.

Pengarahnya Kept Maritim Hamizan Harun berkata bot peronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan kira-kira pukul 11.20 pagi mengesan sebuah bot pukat tunda Kelas B1 dipercayai sedang menunda ikan dalam keadaan mencurigakan dan menahan bot tersebut untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati empat lelaki tempatan berusia 60 hingga 69 tahun merupakan tekong dan awak-awak berada di atas bot tersebut, mereka ditahan kerana melakukan kesalahan menurut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas bot berkenaan bersama dua gulung pukat tunda, ikan baja anggaran 100 kilogram (kg) dan pelbagai jenis ikan sebanyak 500kg untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, Maritim Malaysia Pulau Pinang akan terus mempergiatkan pemantauan dan rondaan di perairan Pulau Pinang dari semasa ke semasa agar kegiatan menyalahi undang-undang jenayah laut dapat dibanteras sepenuhnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan