EKONOMI

CIMB, PLUS jalin usaha sama untuk tambah opsyen pembayaran tol

11/11/2019 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- CIMB Group Holdings Bhd dan PLUS Malaysia Bhd menjalin kerjasama bagi menyediakan opsyen pembayaran tambahan yang memberi pilihan kepada pengguna untuk menghubungkan tag RFID Touch n' Go Sdn Bhd (TnG) dengan akaun bank, kad kredit atau e-wallet TnG.

Buat permulaan, khidmat TnG RFID  disediakan mulai 1 Jan, 2020 di 10 plaza tol sistem terbuka di Lebuh raya PLUS dan menjelang 1 April, 2020 di kesemua 83 plaza tol terbuka.

Plaza tol sistem terbuka melibatkan bayaran kadar tol tetap berasaskan kelas kenderaan manakala plaza sistem tertutup membabitkan plaza di mana kenderaan memasuki lebuh raya dan kadar tol ditetapkan berasaskan kelas kenderaan dan jarak perjalanan semasa keluar dari lebuh raya.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata mereka mahu menyediakan kemudahan Pembayaran Terbuka kepada semua pemegang konsesnsi lebuh raya di seluruh negara pada masa depan.

Sementara itu katanya kaedah pembayaran pemanduan RFID dijangka menggantikan kad TnG yang menjadi kaedah pembayaran tetap dalam kesemua transaksi tol di seluruh negara.

“Memudahkan kaedah pembayaran tol menjadi keutamaan kami dengan pasukan CIMB bersama-sama pasukan TnG anak syarikat kami, komited untuk bekerjasama dengan PLUS, dan pada masa yang sama, syarikat konsesi lebuh raya lain untuk menjadikan Pembayaran Terbuka sebagai realiti yang boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata urus niaga RFID akan menjadi transaksi tepat masa dengan pelanggan lebuh raya akan menerima pemberitahuan segera mengenai baki mereka.

Katanya perkhidmatan TnG RFID boleh didapati dalam mod perintis di lebuh raya terpilih di seluruh negara sejak awal tahun ini.

Pada masa ini, terdapat 700,000 tag RFID dipasang pada kenderaan di seluruh Semenanjung Malaysia dan tag ini dihubungkan dengan e-wallet TnG sebagai sumber dana.

Sebagai kemudahan tambahan, PLUS dan TNG turut bekerjasama menyediakan PayDirect di semua lebuh raya PLUS pada pertengahan 2020. 

-- BERNAMA 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan