AM

Graduan Diploma Kejuruteraan digesa sertai tentera untuk gaji lebih tinggi

11/11/2019 04:04 PM

KUANTAN, 11 Nov -- Graduan Diploma Kejuruteraan terutama yang pernah menyertai pasukan Askar Wataniah, digesa mempertimbang kerjaya dalam bidang ketenteraan secara sepenuh masa untuk memperoleh gaji yang baik.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Mohammad Naim Yaakub berkata mereka juga digalakkan untuk menyertai tentera kerana telah dilatih menerusi kokurikulum pasukan sukarelawan berkenaan.

"Tawaran gaji pokok yang diberikan ialah RM2,060 iaitu satu tangga gaji yang cukup tinggi berbanding rata-rata lulusan diploma yang memperoleh RM1,500 hingga RM1,700 sebulan bagi semua sektor yang diceburi.

"Malah, saya juga maklum anggota yang memiliki diploma kejuruteraan yang bertugas dalam bidang kritikal dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dibayar lebih tinggi iaitu RM2,340 sebulan," katanya dalam ucapan perasmian Malaysia Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) ke-14, di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Mohamad Noor Shahudin.

Yang turut hadir dalam majlis itu ialah Pegawai Memerintah Rejimen ke-12 Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Mohamad Rizal Saad dan Pengarah POLISAS Dr Abd Latif Ahmad.

Perkhemahan tahunan pasukan Askar Wataniah politeknik seluruh Malaysia itu berlangsung mulai hari ini sehingga 24 Nov dengan disertai seramai 857 peserta dan membabitkan latihan pelbagai kemahiran termasuk menembak, kawad, jalan laju dan pentadbiran.

Beliau berkata tangga gaji yang ditawarkan bagi graduan bidang kejuruteraan itu mampu meningkatkan motivasi mereka sekali gus membuktikan kerjaya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi jaminan masa depan.

Mohammad Naim turut berkata secara keseluruhannya, pembabitan pelajar politeknik dalam pasukan Askar Wataniah telah berjaya membentuk jati diri, disiplin dan keterampilan mereka yang mana ramai antara mereka telah memasuki perkhidmatan unit beruniform seperti ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan