IPOH, 8 Nov -- Tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik hanya sebahagian rakaman video perbualan Pengerusi Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Tanjung Piai, bertujuan mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan komponen Pakatan Harapan (PH).
Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata ia merupakan salah satu strategi lapuk pihak pembangkang, untuk mencetuskan perpecahan dalam kalangan parti-parti komponen PH seperti mana sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, dan beberapa Pilihan Raya Kecil (PKR) sebelum ini.
"Saya ingin menegaskan bahawa video tersebut sama sekali tidak menggambarkan keseluruhan konteks, perbualan Menteri Besar Perak pada waktu itu.
"Armada Bersatu Perak menyeru semua kepimpinan, ahli dan penyokong PH untuk tidak termakan dengan fitnah yang dimainkan pembangkang, bagi mencapai cita-cita mereka merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada PH," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Dalam video berkenaan yang tular sejak pagi ini, Ahmad Faizal sedang berkempen bersama calon PH untuk PRK Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini, dipercayai sedang berbual dengan penduduk di kawasan itu mengenai situasi di Perak.
Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PH Perak dilihat memberitahu penduduk dan mengakui mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam, kerana didakwa tidak sealiran dengan kehendak sekutunya iaitu DAP.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial