Seramai 94 pegawai pemantau Kelantan untuk kesan peniaga ingkar [ 4m ago ]

Edisi keempat BE@Penang diadakan pada 5 Dis

Tarikh kemaskini: 07/11/2019
Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN, 7 Nov -- Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) akan menganjurkan edisi keempat acara perniagaan yang terbesar di Malaysia, BE@Penang, pada bulan hadapan.

Persidangan dua hari itu akan bermula pada 5 Dis di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Baru, serentak dengan Sidang Kemuncak Persatuan Konvensyen dan Kongres Antarabangsa (ICCA) 2019 yang pertama.

Ketua Menteri Chow kon Yeow berkata penganjuran serentak Persidangan BE@Penang dan Sidang Kemuncak ICCA Asia Pasifik yang diadakan di Pulau Pinang adalah satu pencapaian besar bagi industri acara perniagaan.

Beliau berkata, pertukaran pengetahuan yang berlaku dalam acara dan delegasi yang turut serta, akan membuka banyak peluang dalam masa hadapan acara perniagaan.

"Sektor ini telah membuktikan nilainya dan terus membuahkan hasil dalam tahun-tahun sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, Ashwin Gunasekaran, yang turut hadir dalam sidang media hari ini berkata sejumlah 40 penceramah dari seluruh Asia Pasifik seperti India, Hong Kong, Macau, Singapura, Australia dan New Zealand akan datang ke acara tersebut.

"Dengan dua persidangan di Pulau Pinang, perkembangan ini membawa standard baharu yang lebih tinggi kepada negeri ini dari segi penganjuran persidangan bertaraf dunia termasuk mengadakan perbincangan mengenai topik yang relevan bagi menyediakan industri itu pada masa akan datang," katanya.

Yuran pendaftaran untuk rakan kongsi industri PCEB adalah sebanyak RM500.

Untuk yang bukan anggota, yuran pendaftaran adalah RM600 dan terdapat kadar tetap berjumlah RM100 untuk pelajar, pensyarah dan ahli akademik serta diskaun 10 peratus daripada yuran permulaan untuk pendaftaran secara berkumpulan membabitkan tiga orang dan ke atas.

Pendaftaran untuk BE@Penang dan Sidang Kemuncak ICCA Asia Pasifik boleh dibuat melalui laman web www.beatpenang.com dan www.iccaapsummit.com hubungi 04-2616161.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu