Tahanan SOSMA tidak boleh dijamin untuk kekang serangan dilancarkan - Ayob Khan [ 20m ago ]

Jadual baharu perkhidmatan tren KTMB berkuat kuasa 16 Nov

Tarikh kemaskini: 07/11/2019
KUALA LUMPUR, 7 Nov -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini mengumumkan jadual baharu bagi semua perkhidmatan KTM Komuter berkuat kuasa 16 Nov ini berikutan kerja-kerja penaiktarafan Landasan Berkembar Klang (KVDT) fasa 1 dan 2

KTMB dalam kenyataan, memaklumkan penjadualan tersebut akan melibatkan 20 perkhidmatan komuter laluan Batu Caves-Pulau Sebang serta 14 perkhidmatan komuter laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim.

"Kedua-dua fasa itu adalah bagi menaik taraf landasan yang berusia lebih 25 tahun, di samping menyelenggara dan menambah baik sistem elektrik, komunikasi, dan stesen-stesen terbabit.

"Kerja-kerja pemulihan landasan yang menghubungkan sektor Lembah Klang itu dilakukan untuk mengurangkan kelewatan dan mengelak pembatalan perkhidmatan akibat kerosakan landasan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan kedua-dua fasa tersebut bertujuan meningkatkan mutu serta keselamatan perkhidmatan kereta api termasuk perkhidmatan KTM Komuter, perkhidmatan tren elektrik (ETS), Skypark Link dan KTM Kargo.

Projek KVDT1 melibatkan sektor Rawang-Salak Selatan dan Simpang Batu-Sentul yang dijangka siap sepenuhnya Julai depan.

Sementara, projek KDVT2 melibatkan sektor Kuala Lumpur Sentral-Pelabuhan Klang serta Salak Selatan-Seremban dijangka siap pada September 2026.

Dalam pada itu, berikutan penjadualan baharu berkenaan, penumpang yang menggunakan tren komuter laluan Batu Caves-Pulau Sebang selepas ini akan bermula dan tamat di Stesen Kajang.

Bagi laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim, perkhidmatan komuter akan beroperasi menggunakan satu landasan antara Rawang dan Kepong yang akan bermula serta tamat di Stesen Sungai Buloh.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu