AM

YaPEIM sasar kutipan RM40 juta Dana Inspirasi Malaysia

06/11/2019 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) diwujudkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyasarkan kutipan sebanyak RM40 juta bagi membantu pelajar yang memerlukan dalam kalangan keluarga B40.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata inisiatif diperkenalkan itu dapat memberi bantuan kepada hampir 40,000 pelajar daripada keluarga B40 bagi memulakan sesi persekolahan serta persediaan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT). 

"Pemerkasaan golongan B40 ini bagi mendapat hak dan peluang pendidikan yang sama harus disokong oleh semua pihak termasuk individu, syarikat dan institusi yang mempunyai keupayaan untuk sama-sama menggembleng sumber.

"Usaha YaPEIM dalam memupuk kesedaran dan keprihatinan masyarakat dalam menyantuni kumpulan sasar melalui inisiatif Inspirasiku ini diharap akan memberi manfaat khususnya kepada golongan sasaran," katanya pada majlis pelancaran Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini. 

Dr Wan Azizah berkata YaPEIM telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada Dana Inspirasiku itu sebagai tanda komitmen dan kesungguhannya untuk menjayakan inisiatif tersebut. 

Beliau menjelaskan setiap sumbangan yang disalurkan kepada dana berkenaan akan dimasukkan ke dalam Tabung Kebajikan dan Pelajaran YaPEIM, selain penyumbang layak mendapat pengecualian cukai pendapatan. 

Beliau turut menyeru kepada semua pihak sama ada individu, syarikat dan badan korporat untuk bersama-sama menyokong Dana Inspirasi Malaysia demi kelangsungan masa depan anak-anak. 

Dr Wan Azizah turut menegaskan semua organisasi dan yayasan yang menerima sumbangan orang ramai supaya menegakkan prinsip akauntabiliti, ketelusan, integriti dan tadbir urus baik. 

"Ini termasuk menyediakan laporan tahunan penerimaan dan perbelanjaan termasuk pemberian kepada kumpulan sasar dan diletakkannya di laman web masing-masing. 

"Pendekatan sebegini sudah semestinya memberi satu tahap keyakinan yang tinggi kepada penyumbang, dan menjadikan mereka menyumbang secara berterusan," jelasnya. 

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata kerajaan melalui Belanjawan 2020 menaikkan nilai ambang pelaporan derma kepada RM20,000 pada tahun depan daripada RM10,000 ketika ini, bagi menggalakkan sektor swasta menderma demi tanggungjawab sosial.

Beliau berkata pada tahun depan, had potongan cukai dalam kalangan rakyat Malaysai ke atas sumbangan tunai kepada aktiviti kebajikan, sukan dan projek berkepentingan nasional akan dinaikkan dari tujuh peratus daripada jumlah pendapatan kepada 10 peratus, iaitu sama seperti syarikat ketika ini.

Dr Wan Azizah berkata Kementerian Pendidikan dalam laporan Pencapaian Setahunnya turut menyenaraikan manfaat untuk pelajar dalam kalangan B40. 

Beliau berkata manfaat ditawarkan kepada golongan itu termasuk 60 peratus kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mulai sesi 2019 iaitu daripada 4,888 pelajar yang ditawarkan, seramai 2,630 menerima tawaran ke SBP.

Golongan B40 juga diberi keutamaan untuk mengikuti Program Matrikulasi mulai sesi 2019/2020 melibatkan sebanyak 60 peratus daripada jumlah enrolmen dikhaskan bagi mereka, katanya.

"Golongan ini juga mendapat laluan khas ke Universiti Awam dengan rekod 23,895 tempat disediakan bagi sesi pengajian 2018/2019," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan