KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Pindaan kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) mungkin menyentuh soal tempoh maksimum penahanan reman yang dikatakan terlalu lama sekarang.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ada yang berpandangan tempoh reman 28 hari sekarang terlalu panjang dan perlu disingkatkan.
Namun, menurutnya, bagi pihak penguatkuasaan seperti polis, mereka mungkin memerlukan lebih masa untuk siasatan contohnya bagi suspek kes keganasan.
“Tetapi ada juga pandangan kalau begitu, mungkin kita bagi 14 hari dan untuk menyambung 14 hari lagi jadi 28 (hari) mesti dibawa ke mahkamah (bagi) mendapatkan keputusan hakim. Itu satu contoh untuk ada semak dan imbang,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk meneliti segala perkara berkaitan SOSMA.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkata kerajaan akan meminda undang-undang bersifat drakonian atau zalim termasuk SOSMA secepat mungkin.
Menurut Muhyiddin, ketika ini masih terdapat beberapa perkara berhubung pindaan SOSMA yang masih belum selesai.
“Peringkat kementerian masih menunggu kalau ada pihak-pihak lain mahu memberi pandangan, dan kalau selesai kita akan bawa balik ke Kabinet. Lepas bawa ke Kabinet kalau lulus, baru kita bawa ke Parlimen.
“Saya fikir untuk tempoh sekarang ini, Parlimen (sesi) tak lama lagi, kita belum siap (pindaan SOSMA) punya kertas, nak bincang, nak bawa ke Kabinet dahulu. Saya fikir awal bulan Mac 2020, sesi yang akan datang,” katanya.
Sementara itu, Presiden PKR dan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pindaan yang dibuat menegakkan prinsip keadilan dan tidak membenarkan sebarang penyalahgunaan oleh kerajaan.
“Kita (PH) tidak kata kita batalkan SOSMA tetapi beberapa peruntukan yang jelas bertentangan dengan prinsip kebebasan dan kemanusiaan dari segi ‘due’ proses itu harus dipinda, itu jelas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial