Papua New Guinea, Nigeria And Honduras To Become New Members Of Council Of Palm Oil Producing Countries | 
Pelaksanaan Dagang Net eScroll di empat universiti di Indonesia [ 3m ago ]

Perkhidmatan percubaan bas hidrogen kembali beroperasi seperti biasa

Tarikh kemaskini: 23/10/2019
KUCHING, 23 Okt -- Perkhidmatan percubaan tiga bas hidrogen milik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang diberhentikan sementara berikutan masalah pencemaran cecair hidrogen, kini kembali beroperasi seperti biasa.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata ujian percubaan itu diteruskan lagi bagi proses-proses pengumpulan data sehingga penghujung bulan ini.

“Bas-bas tersebut telah pun diisikan semula dengan gas hidrogen, pihak Linde EOX Sdn Bhd hari ini juga berada di sini untuk memastikan bas itu dalam keadaan baik kerana ia masih dalam jaminan.

“Kita tidak mahu cecair didapati tercemar sebelum ini mungkin akan menjejaskan kecekapan bas untuk jangka panjang, ujian juga telah dijalankan dan ianya tiada masalah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Loji Hidrogen dan Stesen Isian Semula di sini, hari ini.

Pembinaan dan operasi Loji Hidrogen dan Stesen Isian Semula telah dijalankan oleh Sarawak Energy Berhad dengan kerjasama Linde EOX Sdn Bhd, anak syarikat Linde Malaysia.

Lee berkata, berkenaan dengan masalah pencemaran cecair itu tempoh hari, pelbagai ujian telah dijalankan untuk menangani permasalahan tersebut.

“Punca pencemaran telah diketahui, Linde selaku pakar sistem dan penyepadu teknologi telah memperbetulkan semuanya semula, malah turut menemui kaedah baharu dalam penyelesaian permasalahan itu.

“Ia berpunca daripada tekanan yang berbeza di sini, tangki isian bas ini lebih besar justeru itu ada sedikit masalah teknikal, bukan masalah besar dan telah dikenal pasti, Linde juga telah membuat pemisahan tambahan yang mana semuanya sudah kembali normal,” katanya.

Sebelum ini, bas hidrogen itu dilaporkan diberhentikan sementara berikutan masalah pencemaran cecair hidrogen dan Sarawak Energy menerusi satu kenyataan berkata pengeluaran hidrogen mereka dihentikan sementara bagi menambah baik mutu hidrogen yang dihasilkan ketika tempoh percubaan tiga bas itu.

Bas hidrogen yang bernilai RM1.2 juta itu memerlukan 20 kilogram hidrogen setiap kali isian penuh dan mampu bergerak sejauh 300 kilometer.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu