Sime Darby, Mitsui, Mitsubishi bangunkan kemudahan industri di Klang [ 20s ago ]

Banjir Seberang Perai Tengah: Pusat pemindahan baharu dibuka

Tarikh kemaskini: 23/10/2019
BUKIT MERTAJAM, 23 Okt -- Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Tadika Kemas Kampung Manggis, di sini semalam dengan menempatkan 31 orang selepas rumah penduduk di kawasan itu dilanda banjir berikutan limpahan air hujan dari Sungai Jejawi, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata kesemua mangsa daripada lapan keluarga itu mula dipindahkan ke pusat pemindahan tersebut pukul 9 malam selepas rumah masing-masing dinaiki air antara 0.2 meter (m) hingga 0.5 m.

"Kawasan itu tidak mengalami hujan semalam sebaliknya hujan lebat di Kulim, Kedah telah menyebabkan limpahan air dari Sungai Jejawi sehingga sekitar Kampung Manggis dan kawasan berdekatan mengalami banjir kilat," katanya di sini hari ini.

Katanya dua PPS iaitu Surau Kampung Permatang Tok Subuh serta Dewan Orang Kampung Teluk ditutup dan kesemua mangsa banjir di situ dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Subuh.

Menurutnya, mangsa banjir dipindahkan ke Dewan Orang Ramai PPR Tok Subuh bermula pukul 9 malam kerana dewan itu lebih besar dan selesa untuk menempatkan lebih ramai orang.

Phee berkata sehingga pagi ini seramai 111 orang daripada 30 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai PPR Tok Subuh itu.

"Jumlah pusat pemindahan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) kekal dua walaupun terdapat satu yang baru dibuka iaitu Tadika Kemas Kampung Manggis," katanya.

Katanya sehingga pagi ini, jumlah mangsa banjir menurun kepada 143 orang daripada 38 keluarga berbanding 162 orang daripada 40 keluarga semalam.

Keadaan cuaca di sekitar daerah SPT pagi ini cerah dan baik.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu