AM

JPJ sasar jualan nombor plat siri BQB 1 hingga BQB 9999 mampu cecah RM1 juta

15/10/2019 08:45 PM

SHAH ALAM, 15 Okt -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan jualan nombor pendaftaran kenderaan BQB 1 hingga BQB 9999 mampu mencecah kuitpan RM1 juta apabila bidaannya dibuka dari 25 sehingga 29 Okt ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan bagi bidaan siri nombor pendaftaran kenderaan BQB itu berbanding siri BQA yang dibuka sebelum ini.

“Bidaan yang dilaksanakan melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) secara tepat masa itu akan dibuka selama lima hari bermula 25 Okt pukul 12 tengah malam hingga 29 Okt pukul 11.59 malam. Keputusan bidaan akan diumumkan pada 30 Okt,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat empat kategori dalam sistem JPJeBid yang mana kesemuanya akan dibida mengikut kadar minimum yang ditetapkan iaitu sebanyak RM20,000 bagi kategori nombor bernilai popular, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300).

Jelasnya, kaedah pembayaran bidaan menerusi sistem itu adalah menggunakan kad kredit atau kad debit dan pembeli boleh membida seberapa banyak nombor pendaftaran kenderaan yang diminati namun perlu membayar fi perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida.

“Tiada sekatan untuk membida namun setiap pembida individu hanya layak memenangi maksimum tiga nombor pendaftaran kenderaan sahaja. Bagi pembida perniagaan atau syarikat pula tidak melebihi lima nombor kenderaan," katanya sambil menambah terdapat kenaikan bidaan pada kadar lima peratus bagi kesemua kategori.

Katanya, bidaan nombor pendaftaran itu hanya terbuka kepada warganegara Malaysia dan penduduk tetap yang berumur 18 tahun ke atas selain untuk mana-mana syarikat yang berdaftar. 

"Bagaimanapun, orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod di sistem MySikap seperti rekod kenderaan, lesen atau saman, mereka dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dahulu di mana-mana pejabat JPJ negeri dan cawangan JPJ kecuali di Pusat Transformasi Bandar (UTC)," katanya.

Tambah Shaharuddin, setakat ini, negeri yang mencatatkan kutipan jualan tertinggi bagi bidaan nombor pendaftaran kenderaan adalah Perak iaitu sebanyak RM3.38 juta untuk nombor pendaftaran ‘ALL’.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JPJ akan melelong 246 kenderaan klon dalam lelongan awam siri kedua pada 30 hingga 31 Okt ini di Dewan Teratai, Seksyen 19 di sini dengan harga bidaan bermula serendah RM1,300.

Namun katanya, harga bidaan adalah bergantung kepada jenis kenderaan dan bagi mana-mana pihak yang berminat, mereka perlu membeli Dokumen Buku Lelong berharga RM100 di kaunter JPJ Selangor bermula esok hingga 25 Okt.

“Menerusi dokumen itu, pembeli boleh melihat kenderaan-kenderaan lelong ini untuk tujuan pemeriksaan. Kenderaan itu perlu dibida pada sesi lelongan awam itu dan sekiranya berjaya, pembida perlu membayar 25 peratus daripada harga bidaan secara kiriman wang atau draf bank pada hari yang sama,” katanya.

Jelas beliau, kebanyakan kenderaan klon yang akan dilelong itu adalah dari negara jiran seperti Thailand dan Singapura namun kesemuanya telah mendapat kelulusan daripada mahkamah untuk dilelong.

“Sekiranya kenderaan klon itu dari luar negara, kita akan semak nombor enjinnya dengan pihak Interpol (Polis Antarabangsa) untuk tujuan pengesahan yang ia bebas daripada jenayah selain mendapatkan kelulusan mahkamah. Kita tidak mahu kenderaan lelong itu ada kaitan dengan jenayah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan