AM

Peruntukan bakal galak kehadiran pelabur ke Pahang - MB

11/10/2019 09:25 PM

KUANTAN, 11 Okt -- Peruntukan sebanyak RM69.5 juta untuk kerja menaik taraf Pelabuhan Kuantan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dapat menggalakkan kehadiran lebih ramai pelabur ke Pahang. 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pengumuman itu juga 'tepat pada masanya' kerana selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah lagi taman perindustrian berhampiran pelabuhan itu pada masa depan. 

Taman perindustrian baharu itu, menurut Wan Rosdy mengikut perancangan akan dikenali sebagai Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP) dengan keluasan kira-kira 1,215 hektar. 

"Peruntukan itu sudah pasti menjadi penggalak tambahan kepada bakal pelabur untuk mendirikan kilang di KIIP selain kawasan perindustrian berdekatan seperti Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP). 

"Pelabuhan Kuantan yang dinaik taraf sudah pasti memudahkan kerja pengangkutan masuk dan keluar bahan serta barangan khususnya dari China," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini. 

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke arah Kemakmuran Bersama’ di Parlimen hari ini, mengumumkan Pelabuhan Kuantan akan menerima RM69.5 juta untuk menaik taraf di bawah ECERDC. 

Selain itu, Wan Rosdy juga menyifatkan peruntukan sebanyak RM810 juta untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) temasuk RM100 juta untuk bekalan air dan RM70 juta bagi perumahan generasi baharu juga adalah amat dialu-alukan. 

"Peruntukan ini tentunya akan dimanfaatkan kira-kira 43,124 peneroka, yang merupakan yang paling ramai di negara ini serta anggota keluarga mereka di sini. 

"Saya juga menyambut baik pengumuman membina klinik kesihatan baharu termasuk di Cameron Highlands kerana klinik kesihatan sedia ada ialah di pekan kecil Tanah Rata," katanya. 

Wan Rosdy berharap semua pengumuman yang dibuat, khususnya perkara positif yang berkaitan Pahang dapat direalisasikan untuk kebajikan dan kesejahteraan penduduk di negeri ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan