BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 AM

KKMM perjelas tiga isu utama kepada penjawat awam Pantai Timur

10/10/2019 11:45 PM

KOTA BHARU, 10 Okt -- Kira-kira 1,000 penjawat awam di Pantai Timur menghadiri taklimat berkaitan tiga isu utama iaitu bahaya gerakan antivaksin kepada masyarakat, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023, di sini hari ini.

Taklimat disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Shakib Ahmad Shakir pada majlis Taklimat Isu Semasa peringkat Zon Pantai Timur 2019 di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di sini.

"Sesetengah kelompok dalam masyarakat menolak penggunaan vaksin kerana mereka berpandangan ia berkaitan soal halal dan haram. Berikutan itu, sebagai contoh, kes demam campak meningkat sebanyak 891 peratus sejak 2013 hingga 2018 kerana sesetengah menolak penggunaan vaksin kepada anak mereka," katanya.

Mengenai ECRL pula, beliau berkata projek berkenaan akan memberi limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan yang terbabit.

Katanya menerusi projek itu, usahawan boleh mengembangkan pasaran mereka ke peringkat antarabangsa menerusi jalan pengangkutan darat yang terus bersambung dengan pelabuhan tumpuan.

Mengulas mengenai Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 pula, beliau berkata ia merupakan keutamaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada tahun lepas.

"Jika dahulu, penjawat awam terbeban dengan 'surat sokongan' yang perlu dipatuhi sekali gus mereka terpaksa mengetepikan prosedur operasi standard (SOP) sesebuah jabatan namun sekarang ia tidak lagi boleh dianggap sebagai satu arahan.

"Justeru, saya berharap peserta yang hadir pada hari ini boleh bertindak sebagai 'key communicators' yang boleh membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang benar kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan