SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan betemu lagi untuk tempat ketiga, keempat [ 4h ago ]

Dixon jadi pelumba Moto2 Petronas Sprinta Racing musim depan

Tarikh kemaskini: 09/10/2019
KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Pasukan Petronas Sprinta Racing mengumumkan pelumba muda dari England, Jake Dixon, sebagai pelumba kedua Moto2 pasukan itu pada saingan MotoGP Dunia musim depan.

Pelumba berusia 23 tahun itu bakal berganding dengan Xavi Vierge untuk pasukan tersebut yang menyertai musim ketiga pada saingan kelas pertengahan itu.

Dixon dijadual menguji jentera Kalex buat pertama kalinya di Litar Jerez, Sepanyol, hujung bulan depan selepas musim MotoGP Dunia 2019 melabuhkan tirainya pada Grand Prix Valencia di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol pada 17 Nov ini.

“Saya amat teruja untuk menyertai Petronas Sprinta Racing dan tidak sabar untuk menunggang jentera. Jelas ia sebuah pasukan yang hebat - kamu hanya perlu melihat kejayaan mereka dalam MotoGP dan Moto3.

“Ini satu peluang yang cukup besar besar buat diri saya dan sudah pasti akan memberikan yang terbaik. Tahun ini bukan satu musim yang mudah untuk saya tetapi saya belajar banyak perkara dan ia memberi asas yang baik untuk musim 2020,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan itu, hari ini.

“Kalex adalah jentera yang terbukti dan saya belum boleh menyatakan sasaran sehingga saya menguji kemampuan motosikal itu. Saya akan memulakan musim secara perlumbaan demi perlumbaan,” kata pelumba itu yang bersama pasukan Gaviota Angel Nieto Team musim ini.

Dixon pertamai kali menyertai saingan Moto2 musim ini selepas muncul naib juara Kejuaraan Superbike British 2018.

Pada musim pertama saingan kelas pertengahan tahun ini, Dixon menduduki tangga ke-26 keseluruhan dengan mengumpul empat mata selepas 15 pusingan manakala Vierge yang kini bersama EG 0,0 Marc VDS menghuni tangga ke-15 dengan 59 mata.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu