ALOR SETAR, 29 Sept -- Kementerian Kerja Raya berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan yang lebih besar khusus untuk menaik taraf Jalan Persekutuan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Okt ini.
Timbalan Menterinya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata terdapat banyak aduan mengenai isu Jalan Persekutuan yang masih belum diselesaikan disebabkan oleh kekangan peruntukan.
"Jadi (diharapkan ada) peruntukan tambahan, lebih besar daripada tahun lepas, kerana jalan raya, lebuh raya dan jambatan, rakyat guna tiap-tiap hari, setiap waktu dan perlu ada pembaikan," katanya kepada pemberita selepas majlis bersama beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang dekat sini, hari ini.
Beliau berkata keutamaan untuk kerja-kerja pembaikan itu akan mengambil kira negeri yang mempunyai Jalan Persekutuan yang panjang seperti Pahang, Kedah dan Perak.
“Contohnya di Pahang, (di sana) jalan raya panjang dan sememangnya jalan raya di Pahang tidak cantik, jadi kena utamakan (pembaikan) jalan di sana,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata terdapat 303 tempat di Kedah dikenal pasti sebagai kawasan 'hot spot' mudah berlaku banjir disebabkan masalah perparitan yang perlu diberi perhatian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial