EKONOMI

Tiada lagi fi untuk bayaran cek dan tunai bagi pembayaran balik kad kredit dan pembiayaan

26/09/2019 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Bank-bank kini akan menghentikan mengenakan fi untuk bayaran cek dan tunai bagi pembayaran balik kad kredit dan pembiayaan di kaunter dan Mesin Deposit Tunai (CDM), menurut Persatuan Bank-Bank Di Malaysia (ABM).

“Pada masa ini, terdapat segmen pelanggan tertentu yang telah dikecualikan daripada caj ini, seperti untuk orang kurang upaya dan warga emas.

“Bagi pelanggan yang datang sendiri, terdapat alternatif yang mudah dan percuma untuk menjalankan urus niaga perbankan dan mendapatkan perkhidmatan seperti yang disediakan melalui mesin juruwang automatik (ATM),” menurut persatuan itu dalam kenyataan hari ini.

ABM berkata bank-bank anggotanya akan berkomunikasi dengan pelanggan melalui saluran komunikasi masing-masing, termasuk laman web bank.

Mereka turut bersedia untuk membantu pelanggan mereka memahami saluran alternatif ini atau sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, katanya.

Awal minggu ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) mengkritik langkah yang membenarkan bank-bank untuk mengenakan caj 50 sen bagi penggunaan mesin deposit cek dan RM2 untuk urus niaga di kaunter, mulai bulan depan.

Sebagai respons kepada kritikan itu, ABM semalam berkata fi itu untuk mendorong pelanggan menggunakan platform perbankan dalam talian.

ABM mewakili 26 bank-bank perdagangan di negara ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan