Naib Presiden Tribunal Pilihan Raya Bolivia letak jawatan susulan kontroversi pengiraan undi [ 31m ago ]

Dua penerbangan di LTSAS dibatalkan akibat jerebu

Tarikh kemaskini: 23/09/2019
IPOH, 23 Sept -- Dua daripada lima penerbangan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini terpaksa dibatalkan hari ini akibat jerebu.

Pengurus LTSAS Mohd Ali Osman berkata penerbangan yang dibatalkan melibatkan empat penerbangan bagi laluan Johor Bahru-Ipoh-Singapura dan Singapura-Ipoh-Johor Bahru daripada syarikat AirAsia Bhd yang dijadualkan pada pagi dan tengah hari ini.

"Jarak penglihatan adalah 3,000 meter setakat pukul 7.30 pagi ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 480 penumpang terjejas akibat pembatalan penerbangan itu.

Bagaimanapun katanya, pihak LTSAS sentiasa melakukan pemantauan keadaan semasa bersama pihak berkaitan termasuk pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia dan kawalan trafik udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

Pemeriksaan dalam portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat stesen di Perak iaitu Seri Manjung, Pegoh dan Tasek di Ipoh; dan Taiping adalah pada tahap tidak sihat manakala Tanjung Malim pada tahap sederhana setakat pukul 7 pagi.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu