Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid
MELAKA, 22 Sept – Kelihatan daripada jauh, beberapa pelajar sekolah sedang melihat dengan teliti batu hitam sebesar penumbuk yang diletak atas sebuah meja di ruangan pameran Galeri Meteor di Muzium Rakyat, Bandar Hilir dekat sini.
“Tahu ker batu apa itu dik (adik)..itulah batu meteor atau orang Melayu panggilnya sebagai ‘Tahi bintang’.
“Jangan takut, cubalah angkat dan rasa sendiri berat batu itu … beratnya berbeza dengan batu biasa yang terdapat di luar sana,” kata pemilik Galeri Meteor, Datuk Jaafar Jamaludin bangkit dari kerusi dan berjalan menuju kearah sekumpulan pelajar sekolah itu.
Jaafar, 74 berkata masyarakat Melayu lebih mengenali nama meteor sebagai ‘Tahi bintang’ dan ianya digunakan untuk membuat senjata tradisional Melayu seperti keris, mata tombak dan lain-lain.
Katanya masyarakat barat begitu fanatik dengan batu meteor sehingga sanggup tidur berminggu-minggu dalam hutan rimba bagi mendapat batu berharga itu, berbeza dengan masyarakat Malaysia hari ini yang kurang berminat dengan ‘batu dari langit’ itu.
“Saya belum pernah jumpa pengumpul batu meteor di Malaysia namum pada masa yang saya tidak menolak kemungkinan ada, tapi jumlahnya kecil dan mereka tidak mahu dikenali umum,”katanya kepada Bernama.
Jaafar berkata beliau membawa masuk lebih kurang tiga tan batu meteor yang dianggarkan bernilai RM500,000 (nilai semasa pada ketika itu) selepas bersara dari perniagaan menjual batu permata di Australia dan kembali ke tanah air pada tahun 2003.
“Saya nekad membawa balik batu meteor setelah mendapat bantuan daripada seorang rakan kongsi kerana percaya bahawa batu hitam ini mampu mendatang manafaat kepada rakyat Malaysia satu hari nanti walaupun ramai rakan karib menasihati saya ketika itu agar tidak mengambil risiko daripada pelaburan ini,”katanya.
Beliau berkata oleh kerana nilai satu kilogram meteor mentah adalah RM10,000 maka tidak ramai yang mampu membelinya, oleh sebab itu beliau mempelbagaikan produk daripada meteor agar lebih ramai dapat memilikinya.
“Habis semua duit simpanan saya hasil berkerja selama 45 tahun dilaburkan untuk batu meteor namum saya tidak pernah menyesal kerana yakin bahawa kejayaan akan datang hasil dari usaha yang bersungguh-sungguh ini,”katanya.
Jaafar berkata bagi membolehkan orang ramai memiliki batu meteor dengan harga rendah beliau mempelbagaikan produk daripada batu tersebut pada tahun 2010 dengan menjadikanya sebagai rantai kunci yang dijual harga RM12.00, minyak panas (RM10) dan minyak wangi (RM30).
“Selain daripada itu juga batu meteor dijadikan sebagai barang perhiasan seperti cincin, loket dan keris dijual pada harga RM300 hingga RM3,000.
Sementara itu pelajar tingkatan empat dari sebuah sekolah di Selangor, Wan Nurfarhana Wan Mohd Noor berkata ini adalah kali pertama beliau melihat dan menyentuh batu meteor asli.
“Sebelum ini saya hanya melihat gambar menerusi buku sains di perpustakaan..saya tidak sangka bahawa batu ini adalah berat berbanding dengan batu biasa yang sama saiz dengannya,” katanya.
Wan Nurfarhana berkata apa yang paling menarik adalah batu tersebut bertindak balas atau melekat dengan magnet (besi berani).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial