EKONOMI

PKS perlu penuhi kriteria produk untuk masuki pasar raya berjenama antarabangsa

21/09/2019 09:01 PM

KUBANG PASU, 21 Sept -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menghasilkan produk yang dapat memenuhi kriteria pasar raya berjenama antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka perlu tampil dengan produk yang berkualiti, unik dan kuantiti mencukupi serta pembungkusan menarik bagi membolehkan produk itu memasuki pasar raya berjenama antarabangsa sedia ada di negara ini.

"Pasar raya berjenama antarabangsa seperti Aeon dan Tesco ini mempunyai reputasi antarabangsa yang amat tinggi dan polisi sendiri. Masing-masing sangat teliti dengan produk yang mahu memasuki pasar raya mereka sebab itu beberapa parameter perlu dipenuhi oleh setiap PKS. 

"PKS juga kena pastikan bekalan produk mereka mencukupi. Kalau ada permintaan 10,000 tetapi penghasilan mereka terbatas, itu juga akan menyebabkan produk mereka sukar memasuki pasar raya besar yang mempunyai banyak cawangan di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Beli Barangan Malaysia peringkat negeri yang berlangsung selama tiga hari sehingga esok di Tasik Darul Aman, Jitra dekat sini hari ini yang turut disertai 80 usahawan dan pengusaha produk tempatan.

Saifuddin Nasution berkata sekiranya terdapat kekurangan di peringkat PKS, pihaknya akan memberi tunjuk ajar kepada pengusaha PKS selain membantu memastikan produk itu berjaya memasuki pasar raya berkenaan.

Setakat ini 10 produk PKS telah dipilih dan dimasukkan Syarikat Penerbangan AirAsia ke dalam ‘inflight  menu’.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan