BERITA TERGEMPAR   Former inspector general of police (IGP) Tun Mohammed Hanif Omar died at 2.15 am today - Son | Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi - Anak | 
EKONOMI

MATRADE SELARASKAN MW2019 BAGI PERCEPATKAN EKSPORT MELALUI E-DAGANG

21/09/2019 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept -- Sebagai anggota pasukan petugas Majlis eDagang Kebangsaan (NeCC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyelaraskan Kempen Minggu Malaysia 2019 (MW2019) untuk mempercepatkan eksport Malaysia ke China melalui e-dagang.

MW2019 yang bermula pada 16 September hingga esok merupakan program tahunan yang menyediakan platform global kepada syarikat Malaysia untuk mempamerkan dan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka, bukan hanya di China tetapi juga ke pasaran global, menurut MATRADE dalam kenyataan hari ini.

Katanya lebih 100 jenama Malaysia dengan lebih 800 produk mengambil bahagian dalam kempen pada tahun ini termasuk produk yang mendapat sambutan baik di China seperti durian Musang King dan sarang burung dari Malaysia.

Kempen itu mendapat sokongan daripada kementerian dan agensi lain berikutan penganjur bersama bekerjasama secara langsung dengan Unit Perniagaan Alibaba untuk segmen yang ditetapkan.

Ini termasuk -- saluran Perniagaan-kepada-Perniagaan (B2B) melalui 1688.com dan Alibaba.com (MATRADE), saluran Perniagaan-kepada-Pengguna (B2C) melalui HEMA Superstores (Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd), segmen Runcit melalui HEMA Superstores (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan segmen Pelancongan melalui Fliggy (Tourism Malaysia dan Tourism Selangor).

MATRADE berkata ia akan memudahkan penyelarasan program seperti menjalankan promosi eksport Malaysia melalui pemasaran dalam talian-kepada-luar talian (O2O), menyelaraskan mesyuarat meja bulat antara Unit Perniagaan Alibaba dan pengeksport Malaysia.

"Pemasaran O2O melalui libat urus dengan Pemimpin Pendapat Utama China merupakan inisiatif baharu dan berani yang diambil oleh MATRADE untuk meningkatkan kedudukan jenama Malaysia dalam pasaran ini. Menurut laporan oleh A.T. Kearney, lebih 60 peratus daripada pengguna China dapat menerima pengaruh dalam talian,” katanya.

Kajian terkini oleh Accenture turut menunjukkan lebih 70 peratus daripada pengguna Gen Z China memilih membeli produk secara langsung melalui media sosial daripada saluran lain, berbanding 44 peratus daripada purata global.

Agensi perdagangan itu akan turut membantu majlis penutup MW2019 yang akan disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking esok.

MATRADE telah bekerjasama dengan Alibaba bagi program eTRADE sejak 2014, program untuk mempromosikan penggunaan e-dagang dalam kalangan syarikat Malaysia untuk mempercepatkan eksport melalui penyertaan dalam pasaran e-dagang antarabangsa, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan