Syafiq Ahmad belum puas menjelang aksi di Shah Alam [ 2m ago ]

51 peratus tanaman sawit dapat MSPO sehingga Ogos

Tarikh kemaskini: 21/09/2019
Menteri Industri Utama Teresa Kok (dua, kiri) menunjukkan botol minyak masak ketika Majlis Perasmian 'First Export Shipment of MPSO Certified RBDPO' di Mewah Oleo Industries Sdn Bhd, Jalan Besi Satu, Pasir Gudang hari ini.
JOHOR BAHRU, 21 Sept -- Sebanyak 51 peratus daripada keseluruhan 5.85 juta hektar tanaman sawit di negara ini menerima pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga 31 Ogos lepas.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata pensijilan MSPO itu melibatkan lebih 2.95 juta hektar tanaman sawit dan 288 kilang sawit bersamaan 64 peratus telah menerima pensijilan tersebut.

Katanya bagi negeri Johor, peratusan jumlah kawasan tanaman sawit yang menerima pensijilan MSPO masih rendah iaitu kira-kira 30 peratus dengan hanya enam peratus pekebun kecil persendirian.

"Berdasarkan data, setakat ini hanya 39.4 peratus daripada jumlah kawasan tanaman sawit di Johor mendapat pensijilan MSPO, dan belum sampai 40 peratus.

"Ini kadar yang amat kurang memuaskan. Memandangkan Mewaholeo Industries mempunyai kekurangan minyak sawit yang diperakui MSPO, ini adalah peluang dan pasaran untuk mereka.

“Saya harap mereka (yang belum mendapat pensijilan MSPO) tampil ke MPOCC (Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia) untuk mendapatkan MSPO," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian First Export Shipment of MPSO Certified RBDPO di Mewaholeo Industries Sdn Bhd di Jalan Besi Satu, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPOCC Chew Jit Seng dan Pengerusi Mewah Group Michelle Cheo.

Mewaholeo Industries dijangka mengeksport lebih 300 tan metrik minyak masak ke Jepun pada 26 September ini.

Dalam pada itu, Kok mengingatkan pensijilan MSPO penting untuk memastikan minyak sawit negara diiktiraf sebagai minyak yang berkualiti dan pengusaha kelapa sawit perlu mendapatkan pensijilan tersebut sebelum 31 Dis ini.

Katanya melalui perakuan sijil tersebut, ia dapat meningkatkan harga pasaran sawit pada masa depan.

"Kerajaan menghendaki dan menggalakkan pengusaha sawit mendapat pensijilan MSPO untuk harga lebih tinggi.

"Kita membiayai seratus peratus (subsidi) tetapi masih ramai yang belum datang untuk mendapatkan pensijilan MSPO. Diharapkan mereka akan tampil sebelum 31 Disember ini," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu