Oleh Nurul Nadia Mohd Kamaruzaman
NANNING (China), 20 Sept -- Firma logistik China Post diyakini dapat menjadi platform utama untuk mengembangkan persekitaran perniagaan dan mempromosikan produk Malaysia ke pasaran China.
Menurut Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Tan Sri Halim Mohammad, pertumbuhan hab logistik e-dagang Malaysia-China dilihat semakin bertambah melalui kerjasama dengan China Post yang memiliki jlebih daripada 600,000 rangkaian di seluruh negara itu.
"Kalau di China sahaja, mereka mempunyai rangkaian kereta api bagi wilayah yang tidak ada pelabuhan, China Post akan menjadi platform logistik utama dalam membawa masuk produk Malaysia, bukan sahaja di China tetapi ke negara lain melalui jalan darat," katanya kepada media selepas majlis perasmian Astaka Malaysia di Ekspo China ASEAN (CAEXPO) 2019 di Nanning China hari ini.
Perasmian berkenaan disempurnakan oleh Menteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking.
Sementara itu Ketua Pagawai Eksekutif MATRADE Datuk Wan Latiff Wan Musa, berkata China Post menjadi pintu masuk utama barangan Malaysia ke seluruh wilayah China memandangkan firma logistik itu menawarkan jualan dalam dan di luar talian.
"China Post di wilayah Guangxi menawarkan laluan kepada barangan Malaysia untuk dipasarkan ke seluruh China, malahan kerjasama Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) serta Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) juga banyak memberikan manfaat kepada kedua-dua negara,"
Wan Latiff berkata, China Post turut membuka pasaran berperingkat di seluruh wilayah China seperti Nanning, Shanghai, Guangzhou dan Beijing.
Pertumbuhan import eksport hab logistik e-dagang Malaysia-China mencapai 32.57 peratus, dengan jumlah peningkatan sebanyak RM21 juta setakat Ogos tahun ini, berbanding hanya RM16 juta pada tahun lepas bagi tempoh yang sama.
Menurut kenyataan China Post Guangxi, nilai import ke negara berkenaan sudah berjumlah RM6 juta, manakala eksport meraih RM19 juta bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Pada 2017, Malaysia menandatangani Pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara China Post Guangxi Zhuang Autonomous Region Branch dengan KCO Logistics and Distribution Services Sdn Bhd.
China Post adalah firma penghantaran milik kerajaan China yang sangat berpengaruh dalam e-dagang kerana memiliki jaringan lebih daripada 600,000 di seluruh negara itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial