Naib Presiden Tribunal Pilihan Raya Bolivia letak jawatan susulan kontroversi pengiraan undi [ 29m ago ]

Jerebu: 2,649 sekolah tutup esok, penyakit asma dan konjuntivitis meningkat

Tarikh kemaskini: 19/09/2019
KUALA LUMPUR, 19 Sept -- Sehingga kini, sebanyak 2,649 sekolah di Selangor (939), Putrajaya (25), Kuala Lumpur (296), Pulau Pinang (399) dan Sarawak (987) ditutup esok melibatkan 1,715,274 pelajar susulan keadaan jerebu yang sedang melanda negara.

Bagi semua sekolah di Negeri Sembilan dan Perak, akan dibuka semula dan beroperasi seperti biasa esok kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua negeri itu menunjukkan pengurangan daripada bacaan 200 sehingga 5 petang tadi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes penyakit asma dan konjuntivitis didapati semakin meningkat berdasarkan pemantauan daripada 31 klinik sentinel jerebu.

Terdapat peningkatan penyakit asma sebanyak 15.8 peratus daripada 1,187 kepada 1,375 kes pada minggu epid (ME) 37 iaitu pada 8 hingga 14 Sept lepas, berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36 (30 Jun hingga 7 Sept 2019).

Kes penyakit konjuntivitis pula meningkat 24.9 peratus daripada 253 kepada 317 kes dalam tempoh sama manakala penyakit jangkitan saluran pernafasan (Upper Respiratory Tract Infection - URTI) menunjukkan penurunan 17.3 peratus (7,551 kepada 6,245 kes).

Kementerian Sumber Manusia turut mengambil pendekatan menyarankan majikan supaya melaksanakan dasar kerja fleksibel dengan membenarkan pekerja menjalankan tugasan dari rumah masing-masing berikutan keadaan jerebu yang berterusan.

Kementerian itu menyatakan bahawa perkara berkenaan telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet semalam, yang mana ia adalah tanggungjawab utama majikan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat bekerja.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 9 malam, kualiti udara di Mukah, Sarawak mula menunjukkan perubahan positif apabila beralih ke tahap tidak sihat (187), berbanding sangat tidak sihat (202) pada 6 petang.

Bagaimanapun, lima kawasan lain di negeri itu iaitu Samarahan (221), Sri Aman (209), Sarikei (241), Sibu (243) dan Kuching (264) masih kekal di tahap sangat tidak sihat.

Menurut portal itu, beberapa kawasan di negeri-negeri yang mengalami kualiti udara tidak sihat di sebelah petang berubah kepada status udara sihat pada 9 malam ini, iaitu Johor (Batu Pahat, Kluang); Terengganu (Kemaman, Paka) dan Kedah (Sungai Petani).

Kawasan lain merangkumi Perak (Tasek Ipoh, Pegoh Ipoh); Wilayah Persekutuan (Batu Muda, Cheras, Putrajaya); Selangor (Kuala Selangor, Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Banting); Negeri Sembilan (Nilai, Seremban, Port Dickson); Melaka (Alor Gajah, Bukit Rambai, Bandaraya Melaka); Johor (Segamat, Larkin,Tangkak); Terengganu (Kuala Terengganu); Pulau Pinang (Minden, Balik Pulau) masih kekal dengan kualiti udara tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu