Perkhidmatan percubaan bas hidrogen kembali beroperasi seperti biasa [ 2m ago ]

Dr Siti Hasmah lancar Kempen Tabung Pahlawan 2019

Tarikh kemaskini: 19/09/2019
KUALA LUMPUR, 19 Sept -- Isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini melancarkan Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2019 bertujuan mengumpul dana bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ahli keluarga mereka.

Beliau, yang merupakan penaung KTP 2019, berkata jasa dan pengorbanan setiap pahlawan perlu dikenang setiap masa kerana mereka berkorban nyawa untuk keamanan negara.

“Kepada pahlawan yang berada di merata tempat, saya ucapkan tahniah dan setinggi penghargaan serta didoakan semua berada dalam aman damai,” katanya menerusi rakaman video yang ditayangkan pada Majlis Pelancaran KTP 2019 di Wisma Perwira di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Sementara itu, Mohamad Sabu, ketika menyampaikan ucapan, berkata Kementerian Pertahanan menyasarkan kutipan sebanyak RM6 juta tahun ini dengan hasil kutipan tabung berkenaan akan diagihkan kepada veteran ATM.

Beliau berkata antara yang akan menerima manfaat menerusi kutipan tabung itu adalah veteran kelainan upaya, balu dan anak-anak dalam kategori orang kurang upaya (OKU) serta veteran yang terlibat dalam musibah.

“Saya menyeru semua pihak menyalurkan sumbangan derma ikhlas sebagai tanda terima kasih atas hadiah keamanan dan keselamatan yang kita nikmati pada masa ini.

“Sememangnya wang ringgit bukanlah tukaran kepada keamanan namun ia sebagai lambang kita berbahasa kepda mereka yang telah berbudi,” katanya.

Tabung Pahlawan ditubuhkan sekitar 1950 dan diteruskan sehingga kini untuk mengumpul dana bagi membantu veteran ATM.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Pahlawan 2019 menerusi akaun Affin Bank 1059-5000-3201 di atas nama Tabung Rayuan Hari Pahlawan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu