AM

Bekas pegawai khas Najib nafi berkomplot dengan Jho Low dalam urusan 1MDB

19/09/2019 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept -- Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dirinya berkomplot dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berkaitan urusan perniagaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, saksi pendakwaan kelapan menyatakan demikian pada perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini semasa disoal balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-10 perbicaraan.

Amhari Efendi, 43, berkata beliau dihantar ke Abu Dhabi oleh Najib untuk menyelesaikan isu hutang antara 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC).

Saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau memujuk Najib supaya menghantarnya ke Abu Dhabi.

 Muhammad Shafee: Mulai 2007, kamu dan Jho Low berkomplot dalam urusan 1MDB? 

Amhari Efendi: Tidak setuju.

Muhammad Shafee: Kamu katakan kamu tidak tahu sangat tentang IPIC, Aabar Investment di Abu Dhabi tetapi kenapa Najib menghantar kamu ke sana? 

Amhari Efendi: Kerana, dia (Najib) percayakan saya. 

Muhammad Shafee: Saya katakan pada kamu, bahawa kamu ke Abu Dhabi (untuk menyelesaikan isu IPIC) kerana kamu tidak mahu perkara sebenar mengenai IPIC diketahui?

Amhari Efendi: Saya tidak bersetuju.

Saksi itu turut menafikan yang beliau merupakan pemilik Tycoon Gain Limited dan Aerosphere Limited. 

Sementara itu, Amhari Efendi berkata beliau ke China pada Jun 2016 atas arahan Najib untuk “menyelamatkan"  1MDB dan SRC International Sdn Bhd. 

Saksi itu berkata dalam perkara penting yang akan dibincangkan daripada Jho Low telah menyebut mesej daripada Perdana Menteri (Najib) supaya mempromosikan hubungan ekonomi yang lebih erat dengan tawaran kepada syarikat milik negara China mengambil bahagian dalam projek infrastruktur utama dan pembangunan berbillion "dan pada masa yang sama menyelesaikan hutang 1MDB dan SRC".

Muhammad Shafee: Mengapa kita tidak dapat menafsirkan bahawa isu 1MDB dapat diselesaikan dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui projek infrastruktur dengan China?

Amhari Efendi: Saya lebih cenderung kepada tidak setuju daripada bersetuju kerana tidak perlu memasukkan perkara yang perlu dicakap jika ia mengenai pertumbuhan ekonomi.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama

Perbicaraan di hadapan hakim​​​​​​ Collin Lawrence Sequerah bersambung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan