TAPAH, 14 Sept -- Pertandingan pidato masih kekal relevan dalam melahirkan generasi berjati diri bagi mengutarakan pendapat mengenai sesuatu isu terutama dalam era penyebaran berita palsu yang kian meruncing.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata sumber untuk berpidato diyakini menggunakan maklumat yang sahih tidak seperti berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Saya melihat program pidato hari ini merupakan salah satu langkah untuk menyahut rukun negara yang kelima iaitu, kesopanan dan kesusilaan.
“Kata-kata kita menjadi cerminan kepada siapa diri kita. Oleh yang demikian, saya yakin melalui pertandingan sebegini dapat membentuk masyarakat yang berjati diri tinggi dan berintegriti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Perak 2019 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah di sini, hari ini.
Seramai enam individu dari pelbagai daerah di Perak menyertai pertandingan tersebut yang diadakan setiap tahun anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.
Johan pertandingan itu, Rasydan Mohd Hassan, 21, berkata pertandingan pidato bukan sahaja mampu melahirkan generasi berintelektual tetapi turut menerapkan semangat patriotik dalam diri.
Rasydan yang menyampaikan pidato bertajuk ‘Rukun Negara Teras Kecermelangan Bangsa’ itu berkata sepanjang dia terlibat dalam pertandingan pidato sejak di bangku sekolah lagi, pelbagai topik menarik telah dikupas terutama yang melibatkan bangsa, agama dan negara.
“Pidato bukan sahaja pengucapan awam tetapi menyampaikn sesuatu perkara yang perlu hadapi terutama perpaduan malaysia di seantaro dunia,” katanya yang juga pelajar jurusan perakaunan di UiTM Tapah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial