Guna kamera badan pastikan anggota laksana tugas dengan telus - KPN [ 5h ago ]

Lima ditahan bantu siasatan kekecohan di Langkawi

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
LANGKAWI, 12 Sept -- Lima termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Jeti Island Hopping Teluk Baru, Jalan Teluk Baru, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek berusia antara 24 dan 50 tahun masing-masing tiga pelancong warga tempatan dan dua pekerja syarikat pengendali perkhidmatan lawatan ke beberapa pulau (island hopping) disyaki terlibat dalam insiden yang berlaku akibat perselisihan faham semasa pemilihan pakej yang ditawarkan.

Katanya dua daripada lima suspek yang ditahan itu masing-masing seorang pelancong dan seorang pemandu bot perkhidmatan itu telah membuat laporan berhubung kejadian tersebut di Balai Polis Padang Matsirat serta mendakwa mengalami kecederaan akibat insiden yang berlaku.

“Kelima-lima suspek ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, pada 1 pagi tadi. Berdasarkan siasatan awal, semasa pengadu pertama bersama ahli keluarga sedang memilih pakej ‘island hopping’ dia telah dimarahi pekerja kaunter tersebut kerana tidak memilih pakej yang ditawarkan syarikat itu.

“Setelah bertengkar dan berselisih faham dengan pihak tersebut, pengadu bersama keluarganya telah dipukul oleh sekumpulan lelaki termasuk seorang suspek yang ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata semua suspek yang ditahan mengaku terlibat dalam insiden tersebut.

“Permohonan reman akan dibuat hari ini, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, ” katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu