AM

Malaysia kutuk rancangan Netanyahu

12/09/2019 07:52 AM

KUALA LUMPUR, 11 Sept  -- Malaysia hari ini mengutuk keras kenyataan oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berhubung rancangannya untuk memperluaskan pendudukan negara itu di Wilayah Palestin di Tebing Barat.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu akan menjejaskan sebarang usaha untuk membawa penyelesaian jangka panjang dan keamanan di Timur Tengah.

“Ia memperlihatkan bahawa langkah Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Ini pastinya perkembangan yang berbahaya yang menuntut perhatian penuh komuniti antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan bahawa Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, adalah wilayah Palestin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang diduduki Israel secara haram selama beberapa dekad lamanya sehingga sekarang.

"Malaysia menggesa komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk bertindak tegas terhadap sikap negara itu yang jelas tidak menghormati peraturan undang-undang antarabangsa," katanya.

Netanyahu dilaporkan telah mengumumkan rancangannya untuk meluaskan pendudukan haram Israel di Tebing Barat sekiranya beliau dipilih semula pada pilihan raya minggu depan.

-- BERNAMA 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan