PBB pantau rapat pengusiran dua diplomat Cuba [ 29m ago ]

Unit JCorp lancar lifemed untuk pantau kesihatan pesakit dari jarak jauh

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
CYBERJAYA, 11 Sept -- Unit Corporation Johor (JCorp), NewWave Health Sdn Bhd (NewWave), melancarkan penyelesaian penjagaan pesakit secara digital, LifeMed, yang boleh memantau kesihatan pesakit dari jarak jauh.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata NewWave Health adalah usaha sama antara anak syarikat JCorp, N2W Corporation Sdn Bhd dengan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan digital yang berpangkalan di United Kingdom, SMARTMED Global Ltd.

Bercakap kepada wartawan selepas upacara pertukaran dokumen bagi perkongsian strategik antara N2W dan SMARTMED di sini hari ini, Kamaruzzaman berkata jumlah modal untuk usaha sama itu adalah RM20 juta, 60 peratus daripada N2W dan 40 peratus daripada SMARTMED.

LifeMed menggabungkan tiga komponen, iaitu Bluetooth bagi membolehkan peranti perubatan mudah alih dalam mengukur tekanan darah dan glukosa dalam darah; LifeMed App, aplikasi mudah alih yang merekod dan merakam bacaan; dan portal LifeMed Cloud dan kemudahan analisis.

Penyelesaian LifeMed disokong oleh pusat panggilan sehenti 24-jam dan mampu melaporkan kepada doktor dengan menggunakan bendera merah, kuning atau hijau.

Kamaruzzaman berkata untuk dua tahun pertama, LifeMed akan diperkenalkan di 26 hospital di seluruh negara di bawah cabang penjagaan kesihatan JCorp, KPJ Healthcare Bhd.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu