UMT akan bekerjasama dengan UniSZA buat kajian terperinci penggabungan [ 7m ago ]

Belon udara panas inisiatif FAO bantu promosi Tahun Melawat Melaka

Tarikh kemaskini: 06/09/2019
ALOR GAJAH, 6 Sept (Bernama) -- Pengunjung di Freeport A'Famosa Outlet (FAO) di sini berpeluang menikmati pengalaman dan menghayati pemandangan dari udara dengan menaiki belon udara panas yang disediakan pusat beli-belah itu sebagai inisiatif tersendiri membantu kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif A’Famosa Resort, Datuk Julian Lau berkata aktiviti belon udara panas yang bermula 16 Ogos hingga 15 Nov dari 7.30 pagi hingga 10.30 pagi dan 6.30 petang hingga 9.30 malam itu mengenakan kadar bayaran sebanyak RM100 seorang bagi warganegara dan RM150 seorang bagi warga asing.

“Kami memilih belon udara panas sebagai aktiviti julung kali di FAO bagi memberi peluang kepada pelancong dari dalam atau luar negara menghayati pemandangan dari udara dan menikmati pengalaman yang belum pernah mereka rasai.

“Kami berharap dengan adanya aktiviti belon udara panas di pusat beli-belah ini, ia akan memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2019 yang sedang giat dipromosikan dengan tema 'A Gateway to Historic Malaysia',” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata aktiviti belon udara panas itu juga dijangka berpotensi membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong domestik dan luar negara ke Melaka, sekali gus meningkatkan pendapatan sektor pelancongan negeri.

Belon udara panas yang dikawal sepenuhnya oleh pengemudi profesional dari Jordan, yang fasih berbahasa Malaysia, Omar Zaid, 40-an itu boleh memuatkan seramai tiga orang dengan berat maksimum 200 kilogram dan berada pada paras ketinggian kira-kira 100 kaki selama 10 minit bagi setiap sesi.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Zairi Suboh ketika dihubungi berkata pihaknya menyambut baik usaha FAO mengadakan aktiviti belon udara panas itu dan berharap agar lebih banyak sektor swasta di negeri ini membantu mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2019.

“Kita amat menggalakkan pihak swasta tampil dengan idea produk baharu bagi menambah lagi pilihan kepada para pelancong kerana kita percaya penglibatan mereka mampu memberi manfaat besar kepada syarikat mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Nisa Safiah Omar, 31, berkata pengalaman menaiki belon udara panas itu mencetuskan sedikit perasaan gementar namun pada masa yang sama, ia memberi kepuasan kepadanya kerana berjaya berada pada paras ketinggian kira-kira 100 kaki.

Pada 24 Ogos lepas, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Datuk Muhamad Jailani Khamis dilaporkan berkata kerajaan negeri yakin sasaran 20 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2019 mampu dicapai berdasarkan bilangan kira-kira 18 juta pengunjung ke Melaka dicatatkan hingga suku ketiga tahun ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu