BERUAS, 3 Sept -- Jajaran Seksyen 9 dan 10 dari Kampung Lekir, Sitiawan ke Beruas, Perak, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sepanjang 45 kilometer (KM) dijangka dibuka dalam waktu terdekat ini.
Pengarah Urusan WCE Sdn Bhd, Datuk Neoh Soon Hiong berkata bagaimanapun pembukaan jajaran itu bergantung kepada pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang masih melakukan pemeriksaan di sepanjang jajaran berkenaan.
“Pembinaan lebuh raya itu telah selesai sepenuhnya sejak bulan lepas cuma ada beberapa prosedur yang perlu kita ikut selepas ia siap dibina.
“Kita sedang menunggu semua laporan pemeriksaan yang dijalankan oleh LLM dan mereka akan memaklumkan sama ada dua jajaran dari Kampung Lekir ke Beruas ini boleh dibuka atau tidak dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika sesi penerangan bersama media di Ibu Pejabat WCE Perak di sini, hari ini.
Neoh berkata, Jajaran Seksyen 9 melibatkan laluan sepanjang 28KM dari Kampung Lekir ke Changkat Cermin, yang mempunyai empat plaza tol yang disambung dengan Jajaran Seksyen 10.
“Jajaran Seksyen 10 meliputi laluan sepanjang 17KM sehingga Plaza Tol Beruas manakala jajaran Seksyen 9 pula mempunyai empat plaza tol iaitu Plaza Tol Kampung Lekir, Plaza Tol Sitiawan, Plaza Tol Sitiawan Utara dan Plaza Tol Changkat Cermin,” katanya.
Neoh berkata mengikut perancangan awal dua jajaran itu sepatutnya dibuka Ogos lepas namun terdapat sedikit kekangan dan masih menunggu kelulusan daripada LLM.
"Kita berjaya menyiapkan dua jajaran ini mengikut tempoh iaitu pada Ogos namun ada prosedur yang perlu dilakukan kerana terdapat banyak prosedur seperti pemeriksaan LLM dan mewartakan jalan berkenaan.
"Kami tidak boleh membukanya sewenang-wenangnya kerana soal keselamatan pengguna WCE tidak boleh dikompromi," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir pada majlis pembukaan Jajaran Seksyen 8, WCE sepanjang 19.1KM dari Hutan Melintang ke Teluk Intan Mei lepas memaklumkan Jajaran Seksyen 9 dan 10 dijangka dibuka pada Ogos lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial