KUALA LUMPUR, 27 Ogos -- Sejumlah 300 pempamer pelancongan dijangka akan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka pada pameran Pelancongan Malaysia dan Pasar Perjalanan 2020 (MTTM 2020) yang akan diadakan buat pertama kalinya pada Jun tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) Datuk Zulkefli Sharif berkata pempamer akan terdiri daripada 80 peratus peserta asing dan bakinya merangkumi syarikat tempatan.
"MTTM 2020 merupakan platform terbaik bagi komuniti pelancongan global berkumpul dan menghimpunkan peneraju industri untuk bertemu, mewujudkan rangkaian, berunding dan menyimpulkan perniagaan.
"Ia bukan sahaja menyediakan peluang-peluang perniagaan kepada pembeli dan penjual tetapi juga merupakan platform terbaik untuk mempromosikan dan menjual tarikan-tarikan pelancongan yang unik di Malaysia melalui pakej-pakej menarik yang ditawarkan oleh agensi pelancongan tempatan," katanya dalam satu taklimat media mengenai MTTM 2020 di sini hari ini.
MTTM 2020 yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 25 hingga 27 Jun 2020, adalah selaras dengan inisiatif Pelan Hala-tuju Aktiviti Perniagaan Malaysia yang bertujuan untuk menambah nilai kepada ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang kerja di seluruh negara.
Katanya, aktiviti-aktiviti promosi semasa MTTM 2020 akan bertindak sebagai pemangkin kepada kempen 'Melawat Malaysia Tahun 2020' manakala pameran ini akan melengkapkan objektif kempen dan akan mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan global.
Pameran perdagangan selama tiga hari itu akan dibuka kepada pelawat perdagangan pada dua hari pertama dan kemudian kepada umum pada hari ketiga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial