AM

Bidaan siri nombor pendaftaran kenderaan 'JTR' dibuka esok

20/08/2019 02:47 PM

JOHOR BAHRU, 20 Ogos -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menyasarkan jumlah kutipan bidaan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan baharu ‘JTR’ bernilai lebih RM1 juta apabila bidaan menerusi system JPJebid itu dibuka kepada orang awam selama lima hari bermula jam 12 tengah malam ini. 

Pengarahnya Razali Wagiman berkata sasaran tersebut boleh dicapai menerusi penggunaan sistem JPJeBid itu yang pertama kali diperluaskan pelaksanaan di Johor bagi menggantikan sistem manual yang digunakan sebelum ini.

Beliau berkata menerusi JPJebid ini, setiap individu boleh membida walaupun berada di luar Johor dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan penduduk tetap berumur 18 tahun ke atas serta perniagaan atau syarikat yang berdaftar di negara ini.

“Bagi yang pertama kali menggunakan sistem ini, mereka perlu mendaftar di dalam portal JPJeBid dan bagi orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod dalam sistem mySIKAP seperti rekod kenderaan, lesen atau saman pula dikehendaki  membuat pendaftaran terlebih dahulu di mana-mana pejabat JPJ negeri dan cawangan JPJ kecuali di UTC.

“Kaedah bayaran bidaan pula ialah dengan menggunakan kad kredit atau kad debit tempatan sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.

Razali berkata pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM10 bagi setiap nombor yang dibida namun setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan manakala bagi perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan.

Dalam pada itu, Mohd Rusdi berkata setakat ini, RM15.6 juta telah dikutip sejak sistem itu dilaksanakan dan Putrajaya mencatat kutipan tertinggi sebanyak RM3.1 juta diikuti Wilayah Persekutuan sebanyak RM1.5 juta.

Selain itu, sebanyak 57,165 pendaftaran JPJeBid direkodkan setakat ini dan bilangan pendaftaran itu dijangka bertambah dengan pelaksanaannya yang akan diperluas ke seluruh negara sehingga akhir tahun ini.

Untuk rekod, bidaan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan paling tinggi direkodkan di negeri ini adalah JJJ 1 yang menerima bidaan tertinggi bernilai lebih RM150,000 dan bidaan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan JTM mencatatkan jumlah kutipan sebanyak RM996,000 diikuti JTN RM941,000 dan JTP RM903,000.

Bidaan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan baharu ‘JTR’ itu akan berakhir pada 25 Ogos 11.59 malam dan keputusan bidaan akan diumumkan pada 26 Ogos.

Sekiranya pembida menghadapi sebarang masalah sepanjang tempoh bidaan ini berlangsung, mereka boleh membuat laporan ke aduan.jpjebidssbh@jpj.gov.my atau menghubungi talian 07-3606012.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan