SHAH ALAM, 20 Ogos (Bernama) -- Trend tudung bercorak bendera Malaysia dan bunga raya antara tarikan baharu yang terdapat di pasaran sempena Hari Kebangsaan yang bakal disambut tidak lama lagi.
Warna Jalur Gemilang iaitu merah, kuning, biru dan putih dipilih sebagai warna asas tudung yang didatangkan dalam bentuk selendang dan tudung bawal.
Peniaga, Nurul Hanis Isman, 30, berkata trend itu menjadi pilihan pelanggan yang inginkan kelainan untuk menyambut Hari Kebangsaan kali ini.
“Saya dan lapan lagi pekerja saya berhempas pulas mencari idea untuk rekaan tudung merdeka supaya dapat memberi pengalaman eksklusif kepada pelanggan yang mahukan kelainan pada sambutan Hari Kebangsaan kali ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata idea untuk mereka tudung merdeka timbul selepas melihat tidak banyak tudung bercorak bendera dijual di pasaran.
"Tudung itu mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan yang inginkan tudung ini sama ada untuk dijadikan sebagai koleksi atau memakainya pada hari sambutan,” katanya yang merupakan pengasas syarikat Anies Iman sejak empat tahun lalu.
Tinjauan Bernama mendapati banyak tudung keluaran khas sempena sambutan Hari Kebangsaan dijual di kompleks membeli belah di sekitar pusat bandar ini dan juga dalam talian.
Sementara itu, seorang pelanggan, Nabila Hudda Yusoff, 23, berkata tudung bercorak bendera Malaysia adalah idea menarik bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini.
“Selama ini kita sering lihat kemeja-T dicetak dengan corak bendera Malaysia, namun tidak banyak yang menjadikan tudung sebagai salah satu tarikan baharu,” katanya.
Selain itu, butik dalam talian, El Zahraa, tampil dengan empat tudung edisi terhad merdeka yang dinamakan Hibiscus with Water Colour Splash; Malaysiaku Tanah Airku; The Colours of Malaysia; dan The Lights of KL City; dengan setiap corak yang dikeluarkan hanya terhad 50 helai untuk dipasarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Alyssa Holdings Sdn Bhd yang juga pemilik butik dalam talian itu, Emma Kasmima Khairudin berkata ia merupakan kali pertama butik itu memperkenalkan tudung edisi terhad itu yang mula dijual menerusi akaun laman sosial Facebook ‘El Zahraa’ sejak 1 Ogos lepas.
Setiap tudung bersaiz 48 inci kali 48 inci yang menggunakan fabrik satin itu dijual pada harga RM79 sehelai, dan pembeli hanya perlu membayar RM100 jika membeli dua helai.
“Pada masa ini, lebih 90 peratus tudung edisi terhad merdeka sudah terjual dan kami tidak akan menambah jumlahnya walaupun terdapat permintaan. Ini bagi memastikan rekaan butik El Zahraa adalah eksklusif,” kata Emma Kasmima kepada Bernama.
Antara ciri menarik yang terdapat dalam rekaan tudung itu ialah jalur merah putih, bulan dan bintang pada Jalur Gemilang yang ditampilkan secara abstrak dan kreatif pada tudung corak Malaysiaku Tanah Airku dan ciri bulan dan bintang yang ditampilkan pada rekaan tudung The Colours of Malaysia.
Rekaan tudung The Lights of KL City pula menampilkan bangunan ikon Kuala Lumpur seperti Menara Berkembar Petronas dan Menara KL.
Berikutan sambutan menggalakkan ke atas tudung edisi terhad merdeka, Emma Kasmima berkata El Zahraa berhasrat memperkenalkan tudung edisi terhad Hari Malaysia yang akan tampil berbeza berbanding tudung edisi terhad merdeka.
"Tudung edisi terhad merdeka dan Hari Malaysia yang dikeluarkan oleh butik El Zahraa ini khusus untuk rakyat Malaysia yang menghargai keamanan dan cintakan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial