KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggesa usahawan tempatan untuk terus terlibat dalam aktiviti eksport walaupun keadaan perdagangan semasa dunia agak mencabar berikutan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata prestasi eksport melestarikan ekonomi Malaysia dan secara langsung memberi impak yang positif kepada pembangunan sosial rakyat Malaysia.
“Situasi geopolitik dunia adalah sesuatu yang di luar kawalan kita, tetapi pengeksport Malaysia boleh mengawal tindakan mereka dalam menangani situasi ini.
“Antara strategi yang boleh diambil ialah mempelbagaikan produk atau perkhidmatan mereka dan mempelbagaikan pasaran eksport mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perusahaan kecil dan sederhana boleh membuat lebih banyak pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan serta teknologi terkini dalam bidang pemasaran dan perkilangan seperti Industri 4.0, blockchain, robotik dan Kecerdasan Buatan.
“Matrade yang mempunyai lebih 46 pejabat di seluruh dunia boleh membantu syarikat tempatan mencari pasaran baharu dengan memberi maklumat risikan pasaran dan memadankan syarikat Malaysia dengan pembeli yang berkualiti tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan