Punca air hitam di Sungai Lukut Kechil bukan disebabkan pencemaran - exco [ 5m ago ]

Bacaan IPU pada tahap berbahaya di ILP Miri

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama)--Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri, Sarawak terus merekodkan kualiti udara pada tahap berbahaya dengan bacaan IPU 361 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri sehingga 11 pagi tadi.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini berkata bagi stesen ILP Miri yang mencatatkan bacaan berbahaya dan SK Kuala Baram 2 yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat (IPU 268) adalah disebabkan kebakaran belukar tanah gambut yang berhampiran dengan stesen-stesen kualiti udara.

Mengulas lanjut, JAS berkata peningkatan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat di Sri Aman, Sarawak (IPU 239) adalah disebabkan kebakaran kecil belukar tanah gambut yang berlaku di beberapa kawasan di Sri Aman dan diburukkan lagi dengan jerebu merentas sempadan kesan dari kebakaran di Kalimantan, Indonesia.

Jelasnya kebakaran hutan yang berlaku Sumatera dan Kalimantan,Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak dan menyebabkan status kualiti udara negara pada tahap sederhana.

JAS turut melaporkan satu stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, 63 stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana sehingga 11 pagi tadi.

JAS berkata pihaknya telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa.

Orang ramai dinasihatkan melayari laman web Kementerian Kesihatan (www.moh.gov.my) bagi mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah-langkah pencegahan semasa jerebu, katanya.

--BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu