AM

MeHDA gesa Kementerian Pengangkutan campur tangan isu pemulangan semula komisyen

07/08/2019 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) menggesa Kementerian Pengangkutan supaya mengambil tindakan segera terhadap Grab Malaysia selepas pengendali perkhidmatan e-hailing itu gagal membayar balik lebihan komisen dalam masa yang ditetapkan kepada para pemandu Grab.

Presidennya Daryl Chong berkata menurut kenyataan syarikat menerusi aplikasi untuk pemandu pada 28 Julai, ia akan membayar balik lebihan komisen lima peratus kepada para pemandu Grab pada 5 Ogos.

“Bagaimanapun, sudah lebih 48 jam dari tarikh itu dan para pemandu masih belum menerima sesen pun pemulangan semula lebihan komisen yang dijanjikan oleh Grab. Kami menggesa Kementerian supaya melihat perkara ini dan mengambil tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Grab dalam memo itu berkata syarikat itu akan memulangkan sebarang lebihan komisen yang dikenakan ke atas pemandu setelah beberapa orang daripada mereka mengadu syarikat itu mengambil lebih daripada 20 peratus komisen,  iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan oleh kerajaan mulai 12 Julai tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam sidang media pada 12 Julai juga memberi peringatan keras kepada semua pengendali perkhidmatan e-hailing supaya mematuhi peraturan komisen 20 peratus itu.

Bagaimanapun, syarikat itu masih terus mengenakan komisen 25 peratus ke atas para pemandu ‘Terima-Manual’ dari 12 hingga 28 Julai.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan