Koronavirus: JaPen edar 20,000 risalah di seluruh Sabah [ 33m ago ]

Potongan 50 peratus saman trafik pada Pelancaran Bulan Kebangsaan

Tarikh kemaskini: 01/08/2019
MELAKA, 1 Ogos (Bernama) -- Bersempena dengan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menawarkan potongan sehingga 50 peratus merangkumi pelbagai jenis saman trafik yang layak mendapat pengurangan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata untuk itu, enam kaunter disediakan bagi orang ramai membuat semakan dan bayaran saman yang dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 6 petang, pada 3 dan 4 Ogos di Dataran Pahlawan, lokasi pelancaran itu.

“Kebiasaannya program ini mendapat sambutan. Oleh itu, orang ramai termasuk pengunjung dari luar Melaka yang mempunyai saman tertunggak boleh mengambil peluang ini untuk membayar saman masing-masing.

“Namun, terdapat beberapa jenis saman iaitu saman kemalangan, saman berstatus NC (No Compoundable), saman berstatus waran tahun semasa, saman dalam perbicaraan, saman Op Selamat tahun semasa tidak layak mendapat diskaun ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama MelakaFM mengenai majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019, di sini.

Afzanizar berkata PDRM yang turut terlibat sebagai pempamer sempena majlis pelancaran tersebut, mempelawa orang ramai termasuk suri rumah mendaftar sebagai Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan Skuad Aman Wanita (Amanita) pada hari berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata tiada penutupan jalan-jalan utama dilakukan pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Sabtu ini.

“Bagaimanapun penutupan jalan dilakukan secara berperingkat hanya melibatkan sebahagian Jalan Parameswara berhampiran pentas utama ketika acara itu bagi memberi laluan masuk kereta-kereta tetamu kehormat dan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019.

“Bagi acara Larian Merdeka pada Sabtu ini yang melibatkan acara larian jarak sederhana iaitu 3.8 kilometer, penutupan jalan dilakukan secara berperingkat mulai 7 pagi di depan Dataran Pahlawan dan beberapa jalan lain di sekitarnya dan dijangka dibuka sepenuhnya selewat-lewatnya pada tengah hari,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu