AM

Durian 'Lima Jari' bakal jadi produk pengenalan bagi Melaka

27/07/2019 05:21 PM

MELAKA, 27 Julai (Bernama) – Kerajaan negeri Melaka menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri akan menjadikan durian baka baharu ‘Lima Jari’ sebagai  produk pengenalan bagi negeri itu.

Exco Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee berkata durian tersebut adalah antara baka durian tempatan yang berkualiti tinggi berasal dari Asahan, Jasin.

“Jika sekali pandang ianya kelihatan seperti durian yang diimport dari negara jiran Thailand sebaliknya durian ini asli dari Melaka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Melaka Fruit Fiesta 2019 di Melaka Tropical Fruit Farm, Sungai Udang hari ini.

Katanya durian tersebut mempunyai keunikan tersendiri, rasanya sedap, lemak, manis dan isinya tebal berbanding durian lain.

Beliau berkata berat sebiji durian baka Lima Jari adalah antara tiga hingga empat kilogram dan dijual pada harga RM12.00 sekilogram.

Norhizam berkata beliau melihat bahawa durian tersebut mempunyai potensi besar untuk dimajukan dan ianya akan dijadikan sebagai  produk pengenalan bagi  pertanian negeri ini.

Beliau berkata selain itu juga pihak FAMA sedang berusaha mengkomersialkan durian baka ‘Cinta’ atau dikenali juga sebagai durian baka ‘D88’ sebagai ikonik baharu bagi buahan bermusim di Melaka.

Norhizam berkata walaupun Melaka bukan pengeluar utama durian untuk pasaran eksport, negeri ini mengeksport sebanyak sembilan tan setiap bulan durian baka Musang King dalam bentuk sejuk beku ke pasaran negara China.

Katanya secara purata Melaka mengeluarkan kira-kira sebanyak 100 tan durian sebulan untuk pasaran tempatan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM20 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan