Tiga lagi lokasi di Sarawak capai bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat [ 1h ago ]

Bekas peserta Raja Lawak didakwa cabul pekerja

Tarikh kemaskini: 24/07/2019
PETALING JAYA, 24 Julai (Bernama) -- Bekas peserta Raja Lawak musim kelima, Sulaiman Ibrahim yang lebih dikenali dengan nama Leman Raja Lawak didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang pekerja wanitanya, November tahun lepas.

Tertuduh yang kini pengarah urusan sebuah syarikat produksi bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang berusia 38 tahun itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan seorang wanita berusia 27 tahun di dalam bilik sebuah hotel di Puchong di sini, pada 4.10 pagi, 12 Nov 2018 lepas.

Dia turut dituduh melakukan kesalahan serupa ke atas mangsa yang sama di sebuah pejabat di Jalan Permai, Taman Perindustrian Puchong di sini pada 16 Nov 2018.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Ridzuan Muhamad memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai seorang isteri yang sedang sarat mengandung selain seorang anak yang berusia dua tahun.

"Syarikat produksi yang dikendalikan anak guam saya juga baru beroperasi dan masih belum mempunyai sebarang keuntungan. Saya mohon jaminan dikurangkan," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan pengadu dalam kes ini selain menetapkan 6 Sept untuk sebutan semula kes.

Sulaiman menyertai rancangan realiti televisyen Raja Lawak pada 2012.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu