Angler believed to have drowned while trying to save son [ 5m ago ]

Industri hiburan digital mampu raih pulangan tinggi buat negara - Gobind Singh

Tarikh kemaskini: 20/07/2019
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Malaysia perlu terus memberi tumpuan kepada industri pembuatan 'game' digital kerana ia mampu menjana pendapatan yang sangat lumayan buat negara selaras dengan usaha mempromosi kandungan kreatif digital tempatan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata industri hiburan digital seperti 'game' menunjukkan prestasi kian meningkat selain daripada pembuatan filem dan siri animasi yang telah mengharumkan nama negara.

Beliau menarik perhatian bahawa pada 2017, kira-kira 60 studio pembuatan game tempatan mencatat nilai eksport RM600 juta.

"Selain daripada kemampuan menjana berbilion ringgit kepada ekonomi negara, ia juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan terutama untuk anak muda," katanya ketika berucap pada majlis berkaitan program Kre8tif!@Schools di sini hari ini.

Menurutnya, meletakkan Malaysia sebagai hab industri pembuatan kandungan digital juga akan menarik pelabur luar negara.

Gobind Singh memberitahu bahawa negara sebenarnya mempunyai bakat-bakat hebat tetapi masih kurang dikenali ramai seperti Wan Hazmer Wan Abd Halim yang merupakan pereka utama bagi game video Final Fantasy XV.

"Dulu Wan Hazmer bekerja di Jepun dengan sebuah syarikat pembuatan game yang sangat terkenal di dunia, tetapi dia telah kembali ke Malaysia untuk membantu bakat-bakat tempatan," kata menteri itu.

Gobind Singh turut mengucapkan tahniah kepada Animonsta Studios kerana filem animasi terbarunya, BoBoiBoy: Movie 2 akan mula ditayangkan pada 8 Ogos selain akan turut menemui penonton di negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan Vietnam.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa pembangunan ekonomi digital di negara ini perlu dibuat secara inklusif tanpa meminggirkan golongan kelainan upaya.

"Marilah kita bekerjasama untuk membina sebuah Malaysia yang terangkum digital,” katanya sambil memberikan contoh langkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Maxis, Digi, UMobile dan YTL memperkenal pakej talian mudah alih khusus buat orang kelainan upaya.

Beliau berkata pakej pra dan pasca bayar itu sangat bermanfaat untuk golongan berkenaan kerana ia memberi mereka peluang menggunakan internet sebagai platform berniaga, sekali gus membantu mereka hidup dengan lebih berdikari.

Mengulas lanjut, Gobind Singh berkata Kre8tif!@Schools untuk pelajar istimewa yang diperkenalkan KKMM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memberi peluang kepada anak muda untuk belajar mengenai teknologi kreatif seperti '3D modelling' dan animasi.

Kre8tif!@Schools, katanya, adalah komitmen KKMM dan MDEC dalam usaha membangunkan industri kandungan kreatif digital dengan lebih giat lagi.

"Banyak lagi program yang akan kami lakukan untuk memastikan ekonomi digital Malaysia terus meningkat dan rakyat dapat menikmati kemakmuran bersama," katanya.

Gobind Singh menarik perhatian bahawa Malaysia mempunyai platform seperti Kre8tif dan Level Up yang membantu meningkatkan industri pembuatan kandungan digital (digital content production).

Dalam sidang media, beliau berkata KKMM akan melakukan tindakan sewajarnya bagi membantu penggiat industri filem di negara ini untuk menceburi bidang animasi.

“Kita mahu menerajui industri ini, kita mempunyai keupayaan berbuat demikian dan Malaysia mempunyai banyak bakat. Sudah tentu penting bagi kerajaan untuk memainkan peranannya dalam mengenal pasti bakat ini dan juga memastikan kita memberi industri segala sistem yang diperlukan untuk berjaya, "katanya.

-- BERNAMA














       Berita Utama Terdahulu