KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Skuad lelaki negara mengalami kekalahan pertama dalam Kejohanan Hoki Piala Asia Dalam Dewan 2019 selepas tewas 4-1 kepada juara bertahan, Iran, dalam saingan Kumpulan A di Chonburi, Thailand hari ini.
Ini merupakan kekalahan pertama skuad kendalian Megat Azrafiq Megat Termizi selepas menewaskan Bangladesh 6-0 pada perlawanan pembukaan, Isnin lalu dan berpesta gol 20-1 ke atas Filipina dalam perlawanan kedua, Selasa lalu.
Bagaimanapun, Malaysia perlu mengatasi tuan rumah, Thailand, esok, untuk melangkah ke separuh akhir.
Dalam pada itu, Iran mendahului seawal minit keenam menerusi jaringan sudut penalti oleh Reza Norouzzadeh sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-19 menerusi jaringan padang Mohammad Asnaashari.
Malaysia merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh kapten, Mohd Hanip Che Halim pada minit ke-28 sebelum Iran bangkit pada 10 minit terakhir perlawanan untuk menambah jaringan menerusi jaringan peribadi kedua Reza pada minit ke-35 dan Hamid Nooranian pada minit ke-40.
Sementara itu, skuad wanita negara mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan Taiwan 2-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan B.
Kedua-dua gol tersebut hadir pada babak kedua perlawanan menerusi jaringan padang Siti Arfah Mohd Nor pada minit ke-23 dan Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-30.
Malaysia membuka kempen dengan mengalahkan Singapura 4-0, Isnin lalu sebelum kalah 2-1 kepada Thailand semalam.
Juara dan dan naib juara lelaki serta juara wanita akan memperoleh tiket ke Hoki Piala Dunia Dalam Dewan 2021.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial