KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Enam wanita rakyat asing yang dipercayai menawarkan perkhidmatan pelayan pelanggan (GRO) adalah antara 17 orang yang ditahan dalam Ops Cantas Khas di tiga pusat hiburan di ibu negara awal hari ini.
Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata selain enam wanita, iaitu lima dari Thailand dan seorang Laos itu, mereka yang turut ditahan dalam operasi yang bermula 12.30 tengah malam tadi itu terdiri daripada masing-masing tiga lelaki dan wanita tempatan, empat lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar.
"Pemeriksaan mendapati dua premis yang diserbu itu telah tamat lesen perniagaan manakala sebuah lagi tidak mempunyai lesen perniagaan.
“Polis turut merampas peralatan perniagaan serta minuman keras di pusat hiburan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati wujud elemen gengsterisme di pusat-pusat hiburan terbabit apabila pemilik mengupah individu tertentu untuk mengawal keselamatan premis.
"Kebanyakan warga asing yang ditahan telah menyalahgunakan pas lawatan untuk bekerja di premis itu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial