51-year-old local man found dead in car - Police [ 1m ago ]

Najib diminta tidak buat kenyataan berkaitan perbicaraan di FB sehingga mahkamah putuskan pada Isnin

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengingatkan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak lagi membuat catatan di media sosial berkaitan keterangan dalam perbicaraan kesnya yang melibatkan dana SRC International Sdn Bhd sehingga Isnin ini kerana tindakan itu boleh membawa kepada penghinaan mahkamah.

Terdahulu, Peguam Negara Tommy Thomas memohon supaya bekas perdana menteri itu membuat permohonan maaf tanpa syarat berhubung catatannya di Facebook mengenai perbelanjaan kad kreditnya kerana tindakannya itu boleh membawa kepada sub judice (sedang dipertimbangkan oleh mahkamah, oleh itu tidak boleh diperkatakan di khalayak ramai).

Thomas merujuk kepada catatan Najib di Facebook mengenai keterangan saksi pendakwaan ke-47 pada 15 Julai bahawa dua kad kredit milik Najib digunakan untuk membelanjakan RM3.3 juta dalam sehari, di De Grisogono, butik barang kemas mewah, di Itali pada 2014.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menerima arahan daripada anak guamnya dan dengan itu memerlukan masa untuk menyediakan hujahan mengenai perkara itu.

Muhammad Shafee berkata tindakan anak guamnya itu tidak sub judice kepada perbicaraan, bagaimanapun beliau berkata pihak pembelaan perlu meneliti perkara itu.

“Media mungkin tidak melaporkan gambaran keseluruhan kes itu. Mereka nampaknya selektif dalam penulisan mereka, memilih terhadap apa yang mereka mahu tulis,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan berunding dengan Najib mengenai perkara itu.

Thomas kemudian meminta Najib berjanji untuk tidak berbuat demikian sehingga mahkamah mendengar hujah pada Isnin.

Muhammad Shafee berkata sebelum ini semasa Najib didakwa, pihak pembelaan memohon satu perintah untuk melarang media dan orang awam daripada membincangkan merit kes berkenaan tetapi dibantah pendakwaan.

“Sekarang mereka mahu anak guam saya berjanji untuk tidak menyiarkan apa-apa kenyataan, yang bertentangan,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata beliau akan mendengar hujahan mengenai perkara itu pada Isnin.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu