GEORGE TOWN, 18 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghormati pendirian tegas Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) yang membantah pelaksanaan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pendirian itu telah disuarakan oleh Pen Mutiara dalam pertemuan bersamanya pada 30 Mei lepas dan Kerajaan Negeri sudah sedia maklum serta memahami pendirian mereka yang tidak mahu menyokong pelaksanaan projek berkenaan.
"Itulah perkara pertama Encik Nazri Ahmad (Pengerusi Pen Mutiara) dan persatuan bangkitkan dan balasan dari pihak kami, kami menghormati pendirian itu. Jadi, tidak ada apa-apa pertikaian tentang pendirian persatuan dan tindak balas daripada pihak Kerajaan Negeri," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Nazri yang menyatakan Pen Mutiara berasa kecewa dengan pendirian Kerajaan Negeri yang seolah-olah menggambarkan nelayan negeri ini bersetuju dengan projek PSR yang ingin dibangunkan Kerajaan Negeri sekiranya diberi pampasan setimpal.
Nazri dalam sidang media semalam dilaporkan sebagai berkata para nelayan di negeri ini pada mesyuarat telah bersetuju dengan pendirian untuk menolak projek berkenaan.
Chow berkata dalam pertemuan itu juga Pen Mutiara turut mengemukakan beberapa tuntutan sekiranya projek PSR dilaksanakan kelak dan pihaknya bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan pihak nelayan bagi menentukan pampasan yang bersesuaian.
Berikutan itu, beliau mempersoalkan kenyataan persatuan itu yang tidak berminat dengan soal pampasan sedangkan mereka sendiri yang mengemukakan beberapa tuntutan menerusi kertas cadangan yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada pertemuan itu.
"Dalam pertemuan pada bulan Mei selain dari menyatakan bantahan dan tidak dapat sokong projek ini mereka pun siap sedia dengan tuntutan sekiranya projek ini berlangsung. Jadi, itu apa maknanya. Maksudnya mereka pun memahami sekiranya ada kelulusan, projek akan berjalan maka timbullah isu pembayaran saguhati sekiranya mereka layak untuk dapat saguhati ini.
"Kita tak pernah kata mereka datang cuma membincangkan isu pembayaran saguhati. Itupun saya tegaskan perbincangan hanya boleh mula selepas kelulusan diperolehi. Itupun amat jelas dalam sidang akhbar dan pertemuan dengan persatuan nelayan," katanya.
Ditanya mengenai permintaan Pen Mutiara yang berharap Kerajaan Negeri akan melibatkan persatuan nelayan dalam pertemuan khas bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Chow berkata tiada keperluan untuk mereka terlibat sama dalam pertemuan itu memandangkan setiap taklimat yang diadakan kerajaan negeri mempunyai kumpulan sasar.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif yang turut hadir pada sidang media itu berkata Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Taskforce Nelayan akan berunding dengan setiap nelayan dan persatuan nelayan di seluruh negeri Pulau Pinang dengan mengadakan perbincangan dengan mereka.
Menurutnya, rundingan itu adalah amat penting untuk Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan tentang cara pelaksanaan projek PSR kelak.
"Proses temu tembung telahpun dimulakan sejak tahun 2016 lagi bagi projek PSR dan saya jelaskan hingga kini 4,733 responden terlibat dalam proses ini sama ada dari segi survei, dialog awam, sesi penerangan dan sebagainya bagi membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti segala keluhan dan keresahan rakyat.
"Saya juga ingin menegaskan di mana 72 syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar sebelum ini akan dipatuhi oleh Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan projek ini dan pada masa yang sama akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Taskforce Nelayan yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri," katanya.
Beliau menegaskan projek PSR diputuskan dengan mengambil kira semua pemegang taruh yang terlibat dengan PSR secara langsung ataupun tidak langsung serta pelaksanaannya adalah penting untuk pembangunan negeri Pulau Pinang pada masa akan datang.
Kerajaan Negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut untuk membiayai projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
Kerajaan Pulau Pinang telah menerima kelulusan laporan EIA bagi projek PSR daripada JAS pada 4 Julai lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial