Changes to driving test method needed to implement e-testing - Loke [ 5m ago ]

'ops Gempur Restoran' kesan 10 kesalahan pelanggaran undang-undang perburuhan

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
SEREMBAN, 18 Julai (Bernama) -- Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengesan 10 kesalahan antaranya gagal menyedia dan menyimpan daftar pekerja daripada 20 restoran yang diperiksa dalam Operasi Gempur Restoran di sekitar Seremban yang dijalankan hari ini.

Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTKSM Asri Abdul Wahab berkata operasi itu bagi mengesan dan mencegah pelanggaran undang-undang perburuhan yang cenderung dilakukan majikan.

“Sebanyak 20 premis majikan dari sektor perkhidmatan (restoran) telah diperiksa dan didapati pelbagai pelanggaran undang-undang di bawah Akta Kerja 1955 yang dilakukan oleh majikan.

“Antara kesalahan yang turut dikesan ialah gagal memberi salinan syarat-syarat perkhidmatan kepada pekerja (tiada surat tawaran kerja), gagal memberi penyata gaji kepada pekerja (tiada slip gaji), gagal mematuhi cara pembayaran gaji iaitu gaji dibayar secara tunai tanpa kebenaran bertulis daripada pekerja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata majikan juga dikesan gagal memberikan cuti sakit bergaji kepada pekerja, gagal melaporkan pengambilan dan penamatan pekerja asing kepada JTK, gagal mematuhi tempoh pembayaran gaji serta gagal membayar gaji kerja pada hari kelepasan am dan hari rehat mingguan.

“Majikan boleh didenda maksimum sehingga RM10,000 bagi setiap kesalahan yang disabitkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga Jun, sebanyak 143 kes telah didakwa di mahkamah dan 225 kes diberikan tawaran kompaun di seluruh Semenanjung Malaysia yang melibatkan kesalahan antaranya majikan melakukan potongan gaji tanpa kebenaran, membayar gaji lewat, tidak mematuhi gaji minimum, tidak memberikan kontrak perkhidmatan kepada pekerja serta tidak membayar gaji kerja lebih masa.

“Jabatan ini akan meningkatkan pemeriksaan ke premis penggajian bagi memastikan pematuhan sepenuhnya undang-undang perburuhan negara dan hak-hak pekerja terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu